Kembalikan zaman kegemilangan ilmu Islam

Kembalikan zaman kegemilangan ilmu Islam

KESYUMULAN Islam bermakna agama ini tidak terhad kepada kepercayaan sahaja, tetapi juga termasuk hal duniawi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SALAH satu sifat utama agama Islam adalah kesyumulannya, di mana agama ini bersifat holistik atau menyeluruh. Menariknya daripada ini, ia bermakna agama bukan sesuatu untuk golongan elitis semata-mata, tetapi bagi masyarakat jumhur termasuk golongan bawahan.

Sifat Rasulullah memberi gambaran yang baik. Walaupun baginda tidak beberapa kaya dengan harta, namun baginda mempunyai sifat-sifat paling terpuji. Sempurnanya sesuatu itu bukan datang dari gahnya, namun sebaliknya ia datang dari nilainya.

Kesyumulan Islam juga bermakna agama ini tidak terhad kepada kepercayaan sahaja, tetapi juga termasuk hal duniawi.

Inilah kunci disebalik kegemilangan Islam dahulu kala, apabila sains teknologi berkembang pesat. Bukan sahaja kerana orang Islam pada masa itu lebih kaya dan maju, tidak. Ia kerana mereka faham bahawa mengejar kemajuan saintifik demi maslahah umat juga satu amalan terpuji di sisi Islam.

Malang sekali, kita menghadapi masalah di mana Islam semakin disekularkan. Kini, kita hanya melihat kepada sudut keagamaan Islam. Paling luas pun, kita melihatnya dari aspek moral dan ketamadunan, tetapi jarang sekali tentang sumbangan Islam kepada dunia realiti.

Tokoh-tokoh kita dahulu sudah lama menyedari masalah ini. Salah satu contohnya termasuklah penubuhan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), cetusan ilham tokoh-tokoh cendekiawan Islam pada Persidangan Pendidikan Islam Sedunia Pertama di Mekah pada tahun 1977, terutamanya Allahyarham Ismail Raji Al-Faruqi.

Antara konsep asasnya ialah integrasi ilmu naqli (wahyu Allah) dan aqli (fikiran manusia), di mana kedua-dua bidang ini tidak sesekali boleh dipisahkan. Hasil pimpinan Allahyarham Mohd Kamal Hassan, UIA merupakan antara satu-satunya universiti yang tidak mempunyai fakulti khusus pengajian Islam.

Sebaliknya, ia digabungkan dengan bidang sains kemanusiaan agar benar-benar menepati semangat universiti untuk mengangkat semua bidang sebagai ilmu Allah berasaskan pemahaman tauhid.

Malangnya, ramai yang merasakan Islam perlukan satu tempat khusus, terpisah dari yang lain.

Secara tidak sedarnya ia menjadikan kita sekular, kerana bagi pengajian selain Islam, kita akan pisahkan elemen Islam darinya. Agama sekadar menjadi bahan kepercayaan untuk kita agung-agungkan dalam perbincangan berkaitan Islam semata-mata.

Ia sudah menjadi trend dalam banyak institusi Islam di seluruh dunia. Manakah nilainya sembang kosong berkenaan agama, jika tidak diterjemahkan kepada tindakan untuk kebaikan seluruh dunia?

Walaupun kita lihat hala tuju ini lebih gah dengan puluhan persidangan intelektual dalam masa setahun, kita perlu tanya diri sendiri juga. Bukankah tujuan pendidikan adalah merapatkan jurang masyarakat dan menyelesaikan masalah orang ramai? Bukankah sifat Islam adalah relevan dan boleh diterapkan kepada orang ramai?

Jika begitu, mengapakah institusi-institusi Islam kita semakin lama semakin banyak perbincangan intelektual peringkat tinggi dan semakin terpisah daripada orang ramai? Kita mengutuk negara-negara kaya Arab banyak tidak berpijak di bumi yang nyata, tetapi institusi Islam di negara sendiri juga semakin jauh daripada bumi yang nyata.

Sebagai seorang yang lama belajar daripada sebuah institusi yang dahulunya mendorong kita untuk berfikir tentang dunia sejagat dari sudut pandangan Islam, saya sedih apabila kini kita hanya fikirkan tentang dunia Islam sahaja dan tidak hiraukan hal lain. – UTUSAN

RAZAK HAKEEM
Bekas pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN