TAHUN ini, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) memilih tema ‘Merevolusikan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan: Peranan Kecerdasan Buatan (AI) dan Pendigitalan di Tempat Kerja’ bagi kempen Minggu Kesedaran. Ia mencerminkan kesungguhan negara dalam mendepani masa hadapan kerja secara lebih selamat dan berdaya saing.
Data seperti rekod kemalangan, pemeriksaan alat keselamatan, maklumat kesihatan pekerja serta input daripada penderia boleh dianalisis untuk membina gambaran menyeluruh tentang risiko di tempat kerja.
Misalnya, pekerja syif malam yang bekerja dalam cuaca panas dan lembap didapati lebih mudah mengalami keletihan atau kecuaian. Maklumat ini membolehkan langkah pencegahan diambil, seperti penyesuaian jadual kerja atau tempoh rehat tambahan.
Penggunaan internet pelbagai benda (IoT) membolehkan pemantauan masa nyata melalui penderia pintar. Dalam sektor pembinaan, contohnya, topi dan baju keselamatan boleh dilengkapi penderia untuk mengesan suhu badan, tahap keletihan atau pergerakan luar biasa.
Sekiranya pekerja hampir rebah akibat strok haba atau memasuki kawasan bahaya tanpa kelengkapan lengkap, sistem akan memberi amaran segera kepada penyelia. Ini mempercepatkan respons dan boleh mengelakkan kecederaan serius dan nyawa.
Data juga boleh membantu menyesuaikan program latihan keselamatan dengan lebih tepat. Jika ramai pekerja baharu mengalami kecederaan ketika menggunakan mesin tertentu, modul latihan boleh diubah suai bagi menekankan aspek berisiko tersebut. Latihan menjadi lebih bersasar dan berkesan.
Pendekatan berasaskan data juga membantu organisasi menilai keberkesanan polisi keselamatan sedia ada. Contohnya, selepas penguatkuasaan polisi pemakaian alat perlindungan peribadi (PPE), kadar kecederaan masih tinggi, data boleh mendedahkan sama ada isu terletak pada pematuhan pekerja atau jenis PPE yang digunakan. Dengan itu, pembetulan boleh dilakukan secara lebih tepat.
Walau bagaimanapun, isu privasi data, khususnya berkaitan maklumat kesihatan pekerja, perlu diberi perhatian serius. Data mestilah dilindungi dan digunakan secara beretika, mematuhi Akta Perlindungan Data Peribadi.
Kos permulaan untuk pelaburan teknologi dan latihan pekerja juga mungkin membebankan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Ketika ini, beberapa syarikat besar dalam sektor minyak, gas dan pembuatan mengaplikasikan sistem digital dalam pengurusan KKP. Tetapi penerapannya masih belum menyeluruh. Justeru, kerjasama antara kerajaan, industri dan institusi pengajian tinggi amat penting bagi membina ekosistem digital KKP yang inklusif dan mampan.
Kerajaan boleh memainkan peranan dengan menyediakan insentif, geran teknologi serta menggubal garis panduan khusus penggunaan AI dalam konteks KKP. Selain itu, kursus pensijilan dan latihan dalam bidang KKP digital wajar dipergiatkan bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja profesional yang celik teknologi.-UTUSAN
FAIRUS MUHAMAD DARUS
Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Gunaan
Universiti Teknologi Mara (UiTM)










