Beri ruang, bimbingan dan sokongan kepada golongan remaja

Beri ruang, bimbingan dan sokongan kepada golongan remaja

KERAKUSAN mencari ilmu dalam kalangan remaja lahir ekosistem harmoni dengan keprihatinan guru, ibu bapa yang memahami, komuniti menyokong dan polisi inklusif sekolah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
DALAM landskap pendidikan negara yang sering dibadai isu motivasi, tekanan emosi dan cabaran pasca-pandemik, muncul sinar harapan yang cukup membanggakan iaitu kerakusan remaja untuk mencari ilmu semakin terserlah.
Fenomena ini bukan sahaja petanda baik untuk masa hadapan negara. Ia membuktikan golongan muda mampu bangkit dan mencipta masa hadapan gemilang sekiranya diberi ruang, bimbingan dan sokongan bersepadu.
Kajian lapangan yang dilakukan saya mendapati, remaja khususnya daripada kelompok berisiko seperti pelajar B40 dan mereka yang mengalami tekanan emosi, menunjukkan perubahan positif ketara apabila dibekalkan dengan intervensi kaunseling berstruktur dan sokongan komuniti.
Modul seperti Terapi Rasional Emotif Tingkah Laku (REBT) membantu meningkatkan daya tahan mental, fokus akademik dan minat belajar secara konsisten dalam kalangan pelajar menengah.
Buktinya, sekolah yang mengamalkan pendekatan emosi terkawal dan pengurusan sokongan emosi secara holistik melahirkan pelajar bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi seimbang dari segi emosi dan sosial.
Namun, kerakusan ini perlu terus dipupuk. Dalam dunia yang semakin kompleks dan digital, remaja mudah terdedah kepada pengaruh negatif media sosial, tekanan rakan sebaya dan tekanan pencapaian. Oleh itu, pendekatan menyeluruh perlu digerakkan bukan hanya melalui kaunselor dan guru, tetapi melibatkan semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pemimpin komuniti dan ahli akademik.
Kini, sudah tiba masanya kita mengubah naratif tentang remaja, bukan lagi sebagai ‘golongan bermasalah’ tetapi sebagai aset negara. Kerakusan mereka terhadap ilmu wajar diraikan, disokong dan diberi laluan. Negara yang besar berdiri di atas bahu remaja yang berilmu dan bermaruah.
Ayuh kita bersama guru, ibu bapa, masyarakat dan negara memastikan setiap remaja di Malaysia mampu membina masa hadapannya dengan ilmu, akhlak dan semangat juang. – UTUSAN
DR. NOR ASIKHIN ISHAK
Universiti Utara Malaysia (UUM)

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN