Tingkat pendidikan kesihatan dalam masyarakat

Tingkat pendidikan kesihatan dalam masyarakat

MALAYSIA memerlukan pengukuhan dasar kesihatan yang memberi tumpuan pendidikan kesihatan sejak usia muda, penyediaan perkhidmatan kesihatan mental yang mudah diakses di setiap daerah serta penguatkuasaan ketat terhadap pencemaran udara dan air.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kajian Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 menunjukkan peningkatan rakyat Malaysia menghadapi masalah kesihatan. Lebih separuh rakyat dewasa kini berlebihan berat badan atau obesiti, dan 2.3 juta orang hidup dengan tiga jenis penyakit tidak berjangkit (NCD) serentak seperti diabetes, hipertensi dan kolesterol tinggi.

Malaysia berdepan dua cabaran pemakanan utama iaitu kekurangan zat dalam kalangan keluarga B40 dan lebihan kalori akibat gaya hidup sedentari di bandar. Kajian SEANUTS II (2022) pula mendedahkan hampir satu daripada lima kanak-kanak bawah lima tahun mengalami bantut, manakala 15 peratus pula berlebihan berat badan.

Dalam kalangan dewasa, hampir 95 peratus tidak mengambil buah dan sayur mengikut saranan. Keadaan ini memperlihatkan corak pemakanan yang tidak seimbang, terutamanya disebabkan oleh faktor ekonomi, kurangnya pendidikan pemakanan dan kebiasaan makan segera.

Lebihan makanan ultra-proses, pengambilan gula berlebihan dan kurang aktiviti fizikal menyumbang kepada peningkatan obesiti, diabetes dan NCD di Malaysia. Kajian NHMS 2023 menunjukkan 54.4 peratus dewasa kini berlebihan berat badan, bersamaan lebih 11 juta rakyat. Dalam kalangan remaja, tabiat seperti sarapan yang tidak konsisten dan makan lewat malam menambah risiko kesihatan jangka panjang.

Isu kesihatan mental, terutamanya dalam kalangan remaja, semakin meruncing. Kajian Kementerian Kesihatan pada 2024 menunjukkan hampir 30 peratus remaja mengalami simptom kemurungan. Faktor utama adalah tekanan berterusan akibat perbandingan imej diri di media sosial, ketagihan kepada pengesahan digital dan ketidakstabilan emosi dalam persekitaran keluarga. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa lebih 40 peratus kandungan kesihatan di media sosial berisiko mengelirukan. Ini menambah cabaran besar dalam menangani kesihatan mental remaja.

Malaysia memerlukan pengukuhan dasar kesihatan yang memberi tumpuan kepada tiga aspek utama iaitu pendidikan kesihatan sejak usia muda, penyediaan perkhidmatan kesihatan mental yang mudah diakses di setiap daerah serta penguatkuasaan ketat terhadap pencemaran udara dan air. Kerajaan juga boleh memperkenalkan program pemakanan seimbang, terutamanya di kawasan luar bandar, melalui kempen kesedaran dan kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Pendekatan menyediakan makanan sihat dengan harga berpatutan termasuk inisiatif subsidi atau kemudahan beli berkelompok di kawasan yang kurang akses kepada kedai yang menyediakan produk berkhasiat boleh dilaksanakan. Penyediaan perkhidmatan kesihatan mental di setiap daerah juga perlu ditambah baik dengan sokongan psikologi yang mudah diakses oleh semua lapisan masyarakat.

Dasar kesejahteraan mental di tempat kerja yang lebih komprehensif, termasuk sokongan psikologi secara profesional dan budaya seronok bekerja perlu diperkenal dan diperkasakan.

Polisi kerja fleksibel, seperti hari bekerja dari rumah dan pengaturan waktu kerja yang lebih fleksibel, perlu diberi keutamaan. Menggalakkan cuti khas untuk kesihatan mental dapat memberi sokongan kepada pekerja yang memerlukan.

Inisiatif untuk menggalakkan gaya hidup aktif dan pemakanan sihat di tempat kerja atau komuniti, termasuk menyediakan kemudahan senaman, ruang rehat dan rawat atau aktiviti fizikal boleh dijadikan budaya di organisasi.

Pendidikan mengenai pemakanan seimbang dan aktiviti fizikal juga perlu dimulakan sejak usia muda, dengan program pendidikan di sekolah. Pendekatan menyeluruh ini bukan sahaja meningkatkan kesejahteraan rakyat, tetapi juga membantu mengurangkan beban pada sistem kesihatan negara pada masa hadapan. – UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. KHAIRUNESA ISA
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×