Kerangka TVET lahir huffaz yang kompeten

Kerangka TVET lahir huffaz yang kompeten

RAMAI pelajar tahfiz kini memiliki kemahiran untuk bekerja dalam pelbagai industri di samping melengkapkan pengajian al-Quran melalui integrasi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENDIDIKAN Islam dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sering dianggap sebagai dua aliran berbeza. Satu menekankan pembinaan rohani dan ilmu agama manakala satu lagi berfokus kemahiran teknikal dan vokasional.

Namun, kedua-dua bidang ini semakin diintegrasikan bagi melahirkan modal insan holistik, bukan sahaja berpengetahuan agama tetapi juga memiliki kemahiran pekerjaan.

Usaha kerajaan memperkasakan golongan huffaz (penghafal al-Quran) dengan kemahiran teknikal adalah sebahagian daripada pendekatan ini. Misalnya, kerajaan melancarkan inisiatif Tahfiz-TVET Malaysia pada Mac 2022 iaitu model latihan yang membentuk laluan kerjaya serta meningkatkan kebolehpasaran graduan tahfiz dalam pelbagai bidang TVET.

Memuatkan artikel berkaitan…

Integrasi ini juga selari dengan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) yang menekankan agar pendidikan tahfiz seiring dengan arus perdana tanpa mengabaikan identiti dan nilai Islamiah.

Sejak 2015, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia membangunkan kerangka latihan kemahiran di institusi tahfiz. Program perintis dilaksanakan di Darul Quran Jakim melalui Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) dengan pelajar mengikuti latihan kemahiran teknikal di samping pengajian al-Quran.

Pendekatan TVET berasaskan kompetensi amat menekankan penilaian holistik terhadap sikap, kemahiran dan pengetahuan.

Integrasi Pendidikan Islam dalam kerangka TVET sudah menampakkan hasil melalui beberapa program rintis dan institusi yang berjaya. Berdasarkan data sehingga 2020, sebanyak 22 pusat bertauliah di seluruh Malaysia termasuk institut latihan kemahiran dan pusat tahfiz menawarkan program kemahiran berteraskan Islam.

Menurut rekod terkini, terdapat sekitar 175,000 pelajar di 1,199 maahad tahfiz berdaftar di Malaysia, dengan tambahan 125,000 pelajar di pusat tahfiz tidak berdaftar.

Populasi besar ini mempunyai pilihan laluan kerjaya yang lebih pelbagai. Melalui integrasi TVET, ramai pelajar tahfiz kini dilatih dalam bidang elektrik, automotif, pendingin hawa, pertanian dan pelbagai bidang teknikal lain di samping melengkapkan pengajian al-Quran.

Sebagai contoh, seorang lepasan tahfiz yang mengikuti kursus baik pulih penyaman udara akan memperoleh sijil kemahiran di samping sijil tahfiz, menjadikannya hafiz profesional yang mampu berdikari dalam kerjaya. Beberapa graduan program Tahfiz-TVET berjaya mendapat pekerjaan atau memulakan perniagaan sendiri berbekalkan kemahiran yang diperoleh tanpa mengorbankan jati diri sebagai ilmuwan Islam.

Integrasi pendidikan Islam dalam kerangka TVET berjaya memperkasakan individu khususnya para huffaz dan lepasan institusi agama dengan kemahiran boleh kerja yang relevan. Ia sekali gus meningkatkan kebolehpasaran dan daya saing mereka dalam ekonomi moden tanpa meninggalkan asas agama.

Kedua, ia memantapkan institusi agama melalui pengurusan bersistematik dan profesional. Penggunaan piawai kompetensi seperti standard kemahiran pekerjaan kebangsaan (NOSS) memastikan latihan yang diberikan menepati piawaian dan keperluan sebenar pengurusan institusi.

Malaysia berada pada landasan tepat dalam usaha melahirkan modal insan Ulul Albab iaitu generasi cemerlang dalam ilmu duniawi dan ukhrawi. Inisiatif seperti Tahfiz-TVET, menghasilkan lebih ramai profesional Muslim yang bukan sahaja mampu mengurus hal-ehwal agama dengan efisien, malah menjadi penggerak inovasi dalam sektor teknikal dan vokasional.

Berbekalkan sokongan berterusan pelbagai pihak termasuk kerajaan, institusi agama, industri dan komuniti, pastinya integrasi ini berpotensi menjadikan pengurusan institusi agama lebih efisien dan produktif. Dalam masa sama melahirkan graduan berkompetensi tinggi yang ‘boleh buat, nak buat dan tahu buat’ demi kemajuan ummah juga negara.-UTUSAN

NURUL NISHA MOHD. SHAH & MOHD. RADZMAN BASINON
Universiti Teknologi Mara (UiTM) & Sixtysix Action Academy

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini