Jangan beri makan kera dan lotong di Taman Alam Kuala Selangor

Jangan beri makan kera dan lotong di Taman Alam Kuala Selangor

PENGUNJUNG tidak sepatutnya memberikan makanan kepada haiwan liar dan mesti sentiasa mengelak daripada berkongsi habitat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KONFLIK antara hidupan liar dan manusia sudah lama dibincangkan dan masih terus berlaku.

Pengurusan konflik hidupan liar dan manusia belum lagi berjaya dilaksanakan dengan baik disebabkan beberapa perkara seperti isu pemencilan habitat, pembangunan jalan raya merentas hutan, hubungan manusia dan hidupan liar semakin rapat, kurangnya pengetahuan tentang pengurusan hidupan liar dan pemuliharaan serta penguatkuasaan.

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) selalu menerima laporan gangguan haiwan primat seperti kera dan lotong daripada penduduk yang tinggal di kawasan bersempadan hutan. Apabila hutan menjadi kecil, kawasan legar haiwan ini semakin sempit, makanan tidak mencukupi, maka haiwan terpaksa berlegar di kawasan yang lebih luas dan melibatkan kawasan kediaman manusia.

Haiwan ini mudah beradaptasi dengan manusia apabila diberikan peluang berkongsi kawasan dan mendapatkan makanan daripada manusia.

Manusia tidak sepatutnya memberikan makanan kepada haiwan liar dan mesti sentiasa mengelak daripada berkongsi habitat. Kebergantungan kepada manusia untuk mendapatkan makanan, memungkinkan pemindahan jangkitan kuman daripada haiwan primat, mengundang bahaya yang tidak dijangka dan mengganggu program pemuliharaan spesies terancam.

Larangan ini juga bagi mengelak kesan lain seperti haiwan ini akan menyerang manusia sekiranya tidak mendapat bekalan makanan, mendekatkan hubungan manusia dengan kera dan memasuki perumahan manusia. Gigitan haiwan liar boleh memberi kesan jangkitan yang bahaya.

Perhilitan menyediakan perkhidmatan khas untuk menangani aduan berkaitan hidupan liar.

Salah faham tentang pemuliharaan haiwan yang terancam dan tindakan yang tidak sepatutnya dilakukan boleh mengancam haiwan yang dilindungi undang-undang.

Setiap tindakan terhadap haiwan yang dilindungi mestilah mendapat nasihat Perhilitan mengikut peraturan sedia ada. Apa-apa tindakan memprovokasi atau mencederakan hidupan liar yang boleh membahayakan adalah salah dan boleh diambil tindakan di bawah Akta 716 Pemuliharaan Hidupan Liar 2010. Undang-undang ini boleh menjadi panduan awam dalam perlindungan dan pemuliharaan hidupan liar dan perkara-perkara lain yang berkaitan dengannya.

Aktiviti memberi makanan kepada kera dan lotong di Taman Alam Kuala Selangor sudah lama berjalan. Walaupun Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) sudah lama memberi teguran dan pihak berkuasa tempatan menaikkan papan tanda untuk peringatan, namun pengunjung masih melanggar undang-undang, Ini boleh memberi masalah kepada orang ramai di samping mengganggu usaha pemuliharaan haiwan liar.

Spesies haiwan primat iaitu Kera Ekor Panjang (Macaca fascicularis) dan Lotong Kelabu (Trachypithecus cristatus selangorensis) selalu diberi makan oleh pelancong membuatkan haiwan ini terus bergantung kepada makanan yang diberikan manusia. Akibatnya, kelakuan haiwan ini berubah dan mahu berada dekat dengan manusia.

Kerajaan Negeri Selangor sepatutnya mengambil tindakan segera dengan melindungi kawasan ini dengan menjadikannya kawasan terhad sebagai hutan penyelidikan dan pendidikan. Ahli sains biologi perlu mengesahkan kedudukan spesies lotong ini secara saintifik untuk diberikan status penting dalam pemuliharaan hidupan liar di Selangor.

Sikap pengunjung yang suka memberi makanan seperti buah-buahan, roti, kuih dan sebagainya kepada kera dan lotong antara faktor menyebabkan haiwan ini membiak dengan cepat serta tidak terkawal. Hubungan rapat Lotong Kelabu dengan manusia boleh menggalakkan berlaku penculikan haiwan ini untuk dijadikan sebagai haiwan peliharaan.

Oleh kerana Taman Alam Kuala Selangor di bawah pengurusan MNS, maka sangat baik sekiranya kerajaan negeri bersama MNS memikirkan pengurusan terbaik supaya kera dan lotong ini balik ke habitat asal.

Pemantauan pihak berkuasa tempatan, Jabatan Perhilitan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan MNS boleh membantu mendidik serta menguatkuasakan larangan memberi makanan kepada kera dan lotong. – UTUSAN

AHMAD ISMAIL
Presiden Kongres Persatuan
Akademik Malaysia (MAAC).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×