TARIKH 6 Jun saban tahun menjadi detik bersejarah bagi warga pustakawan negara. Hari Pustakawan Malaysia bukan sekadar memperingati jasa mereka yang mengurus koleksi dan perpustakaan, tetapi mengangkat peranan pustakawan sebagai pemangkin ilmu dalam masyarakat digital yang semakin kompleks.
Persepsi tradisional terhadap pustakawan sebagai penjaga buku dan pengurus rak semata-mata sudah lama ketinggalan zaman. Di institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan, perpustakaan awam dan komuniti, pustakawan hari ini merupakan perunding maklumat, pendidik digital, pemudah cara penyelidikan, pengurus data, malah penggerak pembangunan komuniti melalui program literasi maklumat dan celik digital.
Pustakawan masa kini memainkan peranan strategik dalam analitik bibliometrik, penyelenggaraan repositori institusi dan pengurusan kitaran hayat data penyelidikan, pendigitalan koleksi warisan, malah pembangunan sistem pintar yang menyokong pembelajaran sepanjang hayat.
Di sesetengah institusi, pustakawan turut memegang jawatan strategik dalam pengurusan data raya, analisis tingkah laku pengguna dan penghasilan kandungan bermaklumat menggunakan teknologi automasi seperti AI generatif.
Untuk terus relevan dan kekal signifikan, profesion pustakawan memerlukan strategi survival yang berasaskan adaptasi, kepimpinan dan kolaborasi. Pustakawan masa kini perlu berani meninggalkan zon selesa, menimba ilmu dalam bidang baharu seperti sains maklumat digital, analitik data, rekabentuk pengalaman pengguna (UX), serta dasar dan etika teknologi. Latihan berterusan dan pembelajaran sepanjang hayat harus menjadi budaya kerja, bukan sekadar keperluan pentadbiran.
Kepimpinan pula menuntut pustakawan tampil sebagai jurucakap kepada nilai ilmu, mengarusperdanakan literasi maklumat dalam dasar pendidikan negara dan menjadi pemangkin kepada perubahan dalam organisasi masing-masing.
Sehubungan itu, pustakawan harus dilibatkan secara langsung dalam pelaksanaan Dasar Pendidikan Digital Kebangsaan dan pelan tindakan literasi maklumat kebangsaan yang lebih inklusif.
Ini akan memastikan peranan mereka sebagai pendidik digital dan fasilitator ilmu benar-benar diarusperdanakan dalam sistem pendidikan negara. Kolaborasi ialah kunci memperluaskan pengaruh.
Pustakwan perlu membina jaringan strategik dengan akademik, pentadbir, pemaju sistem, pembuat dasar, malah komuniti akar umbi. Kolaborasi antara perpustakaan akademik dan perpustakaan awam, antara pustakawan dan ahli teknologi atau antara institusi tempatan dan antarabangsa boleh membuka jalan baharu kepada inovasi dan nilai tambah kepada pengguna.
Hari Pustakawan Malaysia bukan sekadar sambutan tetapi peluang untuk menilai kembali sumbangan, cabaran dan arah tuju profesion ini. Dalam dunia yang berubah dengan pantas, pustakawan tidak boleh lagi berpegang kepada status quo. Mereka perlu menjadi arkitek kepada perubahan, peneraju kepada inovasi dan pencorak masa hadapan ekosistem maklumat negara.
Marilah kita mengiktiraf dan mengarusperdanakan peranan pustakawan dalam kerangka pembangunan negara. Pustakawan bukan sekadar penyelia koleksi, tetapi pemimpin pemikiran, penjaga integriti maklumat dan agen perubahan digital. Dengan visi yang jelas, kemahiran rentas disiplin dan jalinan kolaborasi rentas sektor, kita mampu membina ekosistem maklumat yang menyokong inovasi, pemikiran kritis dan kesejahteraan intelektual rakyat Malaysia.-UTUSAN
DR. MOHD. FAIZAL HAMZAH
Pustakawan kanan,
Perpustakaan Universiti Malaya,
Naib Presiden 1, Persatuan Pustakawan Malaysia










