Sedar ancaman bencana alam sebelum terlambat

Sedar ancaman bencana alam sebelum terlambat

GEMPA Bumi Mandalay sepatutnya menajdi amaran awal kepada kita semua kerana bencana berlaku tanpa amaran awal. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIKAP kita ialah selalunya, ‘asalkan tidak melibatkan kita, pedulilah’. Lagipun rakyat Malaysia selalu meyakinkan diri mereka bahawa negara ini cukup bernasib baik kerana tidak diancam gunung berapi, gempa bumi, taufan dan segala macam bencana alam yang berlaku di tempat lain. Sehinggalah gempa bumi Mandalay ‘memakan’ lebih 3,649 korban dan membinasakan harta benda AS$64.2 billion (RM274 bilion).

Gempa Bumi Mandalay datang tanpa salam. Seperti bencana alam yang lain, ia membuktikan betapa kecilnya manusia apabila berhadapan dengan kehebatan alam.

Gempa bumi ini sebenarnya ‘sederhana’ berbanding dengan segala macam taufan, angin puting beliung, hurikan dan lain-lain bencana alam yang menyebabkan kematian ribuan manusia di tempat lain.

Selama ini secara samar-samar kita mengetahui wujudnya bencana alam berdasarkan angin dan hujan yang melanda kawasan pesisir Laut China Selatan dan Pasifik. Malaysia pula sentiasa terkecuali.

Ada sesetengah agensi pusat kaji gempa bumi, memberitahu bencana tersebut tidak seharusnya ‘sampai’ ke Thailand. Selalunya, menurut jabatan berkenaan, Gempa Bumi Mandalay kalaupun boleh menjejak Thailand, kekuatannya menjadi lemah dan tidak membahayakan, kecuali kali ini.

Di Malaysia, ramalan kita bersifat ramalan samar-samar dan meragukan. Kita biasanya akan mendengar kenyataan seperti ‘petang ini diramalkan hujan di kawasan- kawasan pedalaman di Selangor dan Perak’. Secara logiknya kawasan yang dimaksudkan itu melibatkan ratusan ribu hektar.

Malah sering juga terjadi apabila pengacara membacakan ramalan kaji cuaca di studio tentang langit cerah, namun keadaan yang sebenarnya berlaku ketika itu ialah hujan mencurah-curah menyebabkan kesesakan teruk di Lebuh Raya Persekutuan.

Bagaimanapun alam ciptaan Tuhan mempunyai cara tersendiri menempelak manusia paling bijak sekalipun. Sehingga hari ini, teknologi yang digahkan sebagai keadaan seni untuk meramal gempa bumi, letupan gunung berapi, banjir, ribut dan puting beliung masih belum sepenuhnya memuaskan.

Jepun mendakwa mempunyai alat mengesan gempa bumi yang terbaik di planet ini. Namun, pelbagai kemusnahan di Jepun berlaku tanpa amaran awal yang mencukupi.

Los Angeles dan kawasan sekitarnya juga dilengkapkan peralatan paling canggih untuk mengesan bencana alam, tetapi kota itu juga menerima kebakaran hutan terbesar dan sukar dikawal kemaraan api.

Sementara bencana di Myanmar telahpun berlaku. Ada orang yang pasti menempelak dengan mengatakan ‘itu suratan Tuhan’.Tetapi hakikatnya ialah cuaca kini menjadi semakin tidak menentu. Di mana-mana di dunia menghadapi cuaca aneh dan luar biasa. Ia harus diterima oleh manusia.

Gempa Bumi Mandalay sepatutnya menjadi amaran awal kepada kita semua.

Benar, ia merupakan kejadian yang datang tanpa diundang. Tetapi mungkin kesannya tidak seburuk itu kalau kita bijak mengenali alam sekitar.-UTUSAN

ARIFF SALLEH
Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN