KEMENTERIAN Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memperkasakan belia dan masyarakat melalui pendedahan kepada teknologi Kecerdasan Buatan (AI) menerusi Program AI 4 Belia dan Masyarakat 2025, yang diadakan bersempena Mini Karnival Sains Madani di Kuala Kurau, Perak.
Program ini bertujuan untuk meningkatkan pemahaman dan keupayaan belia dalam mengaplikasikan teknologi AI secara beretika dan bermanfaat dalam kehidupan seharian, di samping memberi penekanan kepada keterangkuman digital dengan mengutamakan penyertaan masyarakat luar bandar agar manfaat kemajuan teknologi dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat.
Program ini merupakan antara usaha strategik MOSTI dalam memupuk minat dan kesedaran terhadap teknologi AI, khususnya dalam kalangan generasi muda yang bakal menjadi peneraju inovasi negara.
Inisiatif ini selari dengan elemen Daya Cipta dalam kerangka Malaysia Madani, dengan membimbing belia dan masyarakat untuk mencipta solusi berasaskan Al yang memberi impak positif kepada komuniti dan pembangunan negara.
Program ini menampilkan pendekatan interaktif dan mudah difahami melalui tiga komponen utama:
• Kesedaran AI – pengenalan kepada konsep asas dan manfaat Al,
• Karier AI – pendedahan kepada peluang kerjaya dan kemahiran masa depan,
• Bengkel AI – pengalaman praktikal penggunaan dan pengoptimuman teknologi generatif Al bersama guru dan pelajar sekolah.
Usaha ini sejajar dengan Pelan Strategik Negeri Perak 2021-2030, yang berhasrat memperkukuh ekosistem inovasi berasaskan ilmu di seluruh negeri.
Mini Karnival ini turut menampilkan pelbagai pameran dan aktiviti interakif melibatkan agensi-agensi di bawah MOSTI seperti Pusat Sains Negara (PSN), Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Jabatan Tenaga Atom (JTA) dan Jabatan Kimia Malaysia (KIMIA), di samping demonstrasi sains, kuiz, sesi perkongsian dan permainan berasaskan sains dan teknologi. – UTUSAN
KEMENTERIAN SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI (MOSTI)










