Perang di Palestin bina akidah teguh umat Islam

Perang di Palestin bina akidah teguh umat Islam

MEMBANTU rakyat Palestin yang kini berada dalam kesusahan akibat kekejaman Israel merupakan tanggungjawab umat Islam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGI membina akidah yang teguh di sebalik perang di Palestin, umat Islam perlu yakin dan percaya apa yang sedang berlaku di negara itu adalah dengan kehendak Allah yang memiliki nama al-Hakim (Yang Maha Bijaksana) dan al-Khabir (Yang Maha Mengetahui).

Al-Hakim bermaksud Tuhan Yang Mengatur urusan makhluk-NYA dengan baik dan mencipta semua makhluk-Nya dalam bentuk yang paling baik. Manakala al-Khabir pula bermaksud Tuhan Yang Memahami hakikat segala sesuatu dengan kefahaman yang betul.

Justeru, jika begitulah sifat Tuhan yang mentakdirkan perang berlaku di Palestin, maka sudah pastilah ada hikmah di sebaliknya, sama ada ia boleh dicapai manusia ataupun sebaliknya. Ini kerana hikmah Allah di sebalik sesuatu kejadian tidak semestinya dalam bentuk yang kita gambarkan.

Kita perlu membina akidah yang teguh dengan mempercayai dunia ialah tempat ujian dan bukannya tempat balasan. Ujian merupakan sunnah Allah terhadap hamba-Nya di dunia ini.

Ujian boleh datang dalam pelbagai bentuk seperti berupa ketakutan, kelaparan, kehilangan harta benda dan insan yang tersayang, sebagaimana sedang dirasai rakyat Palestin ketika ini. Namun, kita dapat melihat sifat sabar, reda serta kebergantungan mereka yang kuat kepada Allah. Merekalah orang-orang bersabar yang diberikan khabar gembira.

Bagi umat Islam yang tidak berada dalam medan perang di Palestin, mereka juga diuji dalam bentuk kesenangan. Ini kerana ujian bukan sahaja datang dalam bentuk kesusahan, malah ia juga datang dalam bentuk kesenangan.

Akidah yang perlu dibina dengan teguh di sebalik perang di Palestin ialah meyakini akhirat merupakan kehidupan yang abadi manakala kehidupan di dunia ini hanyalah bersifat sementara.

Rakyat Palestin yang dibunuh dalam peperangan ini dikira mati syahid sekiranya mereka beriman kepada Allah, sabar dan mengharapkan pahala daripada-Nya. Mereka dijanjikan Allah dengan pahala yang amat lumayan dan mereka kekal abadi mengecapi segala nikmat yang disediakan oleh-Nya.

Manakala mereka yang masih hidup di Palestin dan sedang tetap teguh mempertahankan Baitulmuqadis dan tanah air. Golongan ini akan diberi ganjaran pahala yang sangat besar.

Justeru, setiap individu Muslim perlu menanam akidah bahawa akhirat menjadi tujuan hidup di dunia ini. Oleh itu, setiap perbuatan mereka di dunia harus difokuskan untuk meraih reda Allah yang akan menjamin keselamatan hidup di akhirat nanti.

Selain itu, mereka juga perlu sedar kehidupan di dunia ini sangatlah singkat dan perlu bertindak segera sebelum terlambat.

Daripada kupasan di atas, jelas Allah tidak pernah mengabaikan rakyat Palestin yang dizalimi.

Sementara kita sebagai umat Islam harus terus membantu rakyat Palestin. Satu bentuk bantuan yang boleh dilakukan adalah dengan mendoakan mereka. Setiap individu mestilah bertakwa kepada Allah sebagai syarat agar doa mereka diterima.

Justeru, sudah sampai masanya untuk semua umat Islam kembali kepada Allah dengan menjunjung tinggi segala suruhan dan larangan-Nya.-UTUSAN

DR. SYED SULTAN BEE PACKEER MOHAMED
Universiti Utara Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×