SIJIL Pelajaran Malaysia (SPM) merupakan peperiksaan berasaskan kurikulum tertentu dengan hasil pembelajaran spesifik. Ia menilai sebahagian, bukan keseluruhan, aspek perkembangan murid.
Pendidikan seharusnya dilihat secara lebih menyeluruh meliputi kemahiran insaniah, kreativiti, pemikiran kritikal, sahsiah dan perkembangan emosi dan kebolehan menyesuaikan diri dalam dunia yang sentiasa berubah, yang tidak semuanya dapat diukur melalui ujian bertulis seperti SPM.
Pendekatan seperti pentaksiran berasaskan sekolah, portfolio pembelajaran, penilaian sahsiah, penilaian berterusan dan pentaksiran prestasi perlu diberi perhatian serius agar pencapaian pelajar dapat dinilai secara menyeluruh bukan hanya dari segi akademik, tetapi juga merangkumi keperibadian, kemahiran komunikasi, kreativiti, penyelesaian masalah dan kepimpinan.
Kaedah ini lebih relevan untuk membentuk pelajar yang holistik, adaptif dan bersedia menghadapi cabaran abad ke-21.
Pendekatan pentaksiran yang lebih fleksibel dan autentik bukan sahaja membolehkan guru menilai pembelajaran dalam konteks sebenar, malah menyokong pembangunan potensi murid secara berterusan.
Portfolio pembelajaran, misalnya, mencerminkan bukan hanya hasil akhir, tetapi juga proses, refleksi dan perkembangan jangka panjang pelajar. Lebih penting, pentaksiran alternatif menyediakan data yang pelbagai, kontekstual dan bersifat longitudinal, satu sumber penting untuk dasar pendidikan berasaskan bukti.
Dengan data yang sahih dan menyeluruh ini, pembuat dasar dapat menggubal intervensi yang lebih tepat, adil dan berkesan. Maka, usaha memperkukuh pentaksiran alternatif bukan sekadar pilihan, tetapi satu langkah strategik ke arah pembinaan sistem pendidikan yang progresif, inklusif dan berteraskan data.
Kita raikan kejayaan, sambil terus memperbaiki sistem.
Meraikan kejayaan pelajar bukan bererti menutup mata terhadap penambahbaikan yang diperlukan. Sebaliknya, ia membuka ruang kepada perbincangan yang lebih matang tentang reformasi pendidikan, peranan pentaksiran, sokongan pembelajaran di luar bilik darjah, serta keperluan membina daya tahan sistem pendidikan dalam menghadapi krisis masa hadapan.
Reformasi pendidikan tidak boleh berhenti. Ia harus bergerak seiring dengan cabaran zaman termasuk digitalisasi pendidikan, keperluan ekonomi baharu, dan pembinaan modal insan yang lebih holistik.
Dalam erti kata lain, kita mesti berhati-hati agar tidak menjadikan angka keputusan SPM sebagai satu-satunya petunjuk kejayaan pendidikan negara. Sebaliknya, kita perlu membina ekosistem pendidikan yang menilai murid sebagai insan yang berkeupayaan tinggi dari pelbagai dimensi intelektual, emosi, sosial dan moral yang kesemuanya penting dalam membina negara bangsa yang maju, berdaya saing dan berperikemanusiaan, sejajar dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
SPM 2024 adalah bukti bahawa dengan usaha gigih, pelajar kita mampu bangkit meskipun berdepan kekangan pandemik. Namun, bagi memastikan kejayaan ini bukan sekadar angka, kita memerlukan pendekatan yang lebih luas dan mendalam dalam menilai kualiti pendidikan.
Ini bukan soal memperkecil pencapaian, tetapi soal membina masa hadapan sistem pendidikan yang lebih berdaya saing dan berdaya tahan.
Pendidikan adalah perjalanan yang panjang, kompleks dan pelbagai dimensi lebih luas daripada sekadar angka dan statistik. – UTUSAN
PROFESOR DR. HAZRI JAMIL
Dekan
Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan, Universiti Sains Malaysia










