UMUM mengetahui apabila cuti panjang atau perayaan tertentu, Kelantan akan ‘dibanjiri’ ratusan ribu kenderaan yang pulang ke kampung halaman.
Dari pemerhatian saya, antara faktor paling ketara menyebabkan jalan raya di negeri itu sesak terutama di musim perayaan seperti:
– Bilangan penduduk melebihi 1.8 juta orang. Jumlah itu tidak sesuai untuk Kelantan yang berkeluasan satu pertiga atau 15,000 kilometer persegi. Tidak hairan, bilangan kenderaan akan berkali-kali ganda ketika musim perayaan.
– Disebabkan keluasan terhad, sudah pasti jalan raya antara bandar dan jarak antara kampung tidak begitu jauh. Oleh itu, sudah pasti kenderaan bergerak perlahan dan sesak dalam lingkungan yang kecil.
– Tiada jalan alternatif lain. Bagi mereka daripada Lembah Klang terpaksa melalui jalan utama dari Lipis Pahang ke Gua Musang hingga ke Kota Bharu atau Tumpat.
Saya berpandangan keadaan semula jadi geografi negeri itu menyebabkan seolah-olah kenderaan bergerak di dalam kawasan terhad dan terbatas.
Walaupun nanti Lingkaran Tengah Utama (LTU) dan Projek Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai (KBKK) siap, masih belum pasti dapat mengatasi masalah kesesakan sepenuhnya.
Salah satu penyelesaian yang boleh dikaji ialah membina persimpangan bertingkat di setiap persimpangan jalan raya dengan mengurangkan penggunaan sistem lampu isyarat.
Penyediaan persimpangan bertingkat lengkap dengan susur keluar dan masuk ala sistem penyuraian trafik dijangka dapat memastikan peraliran trafik lancar.
Dengan mengurangkan sistem lampu isyarat bermakna mengurangkan kenderaan dari lebih kerap berhenti di lampu merah. Di samping itu jalan raya utama dan penting perlu dilebarkan, namun ia melibatkan kos yang besar.-UTUSAN
TEROPONG DO RE MI
Setapak, Kuala Lumpur










