KUALA Lumpur sebulan dua ini pasti mencatatkan rekod sebagai kota paling sesak, paling riuh dan paling berdebu di Asia Tenggara. ‘Jerebu’ tarif menjadikan Bangkok lebih waras, Jakarta lebih tenang dan Manila lebih terkawal.
Kuala Lumpur masih hidup saban malam, bukan yuppiesnya sahaja yang menyusuri diakotik dan pub terbaiknya, pelobi-pelobi politik dan pengikut mereka juga masih memenuhi kafe kopi di hotel-hotel mewah. Kuala Lumpur sebenarnya masih mewah dan ceria. Atau sememangnya, ibu kota itu begitu menenggelamkan masalah, melayani hipokrasi dan membenarkan wajah gagah walau di belakangnya cerita muram serta sengsara?
Hari ini Kuala Lumpur sama sekali tidak membayangkan imej kota yang negaranya sedang dilanda ketidakstabilan ekonomi. Di mana kos sara hidup kian mencanak naik dan pasaran sahamnya kian menjunam. Sekiranya kegiatan pembinaan dijadikan ukuran, Kuala Lumpur sama sekali tidak mencerminkan kewaspadaan yang terlihat di banyak ibu kota lain.
Malah sebenarnya Kuala Lumpur semakin teruk dek kesesakan luar biasa. Seperti lumrahnya, Kuala Lumpur mempunyai cara tersendiri untuk ‘menyeksa’ penghuninya. Tiada kota di dunia yang lebih simpang-siur jalannya selain Kuala Lumpur sebulan dua ini.
Semuanya atas nama projek yang harus disegerakan. Dan selalunya ia tertumpu di atas jalan yang sedia sibuk.
Bagaikan tidak sabar-sabar, semuanya harus disegerakan pelaksanaanya. Bukan itu sahaja. Tiap sesuatu yang dianggap pelik boleh menjadi punca kesesakan di Kuala Lumpur.
Polis trafik menahan penunggang motor yang tidak melalui laluan sikal boleh menyebabkan kesesakan di Lebuh Raya Persekutuan. Orang tidak siuman berjalan bersama anjingnya boleh menyebabkan kesesakan luar biasa di Jalan Ampang. Pemandu kenderaan di Kuala Lumpur memerlukan distraction (gangguan) kecil sedemikian agaknya bagi mengelakkan kebosanan dan mengurang tekanan bersesak di jalan raya atau menjadikannya hiburan kecil sementara kesabaran masih ada.
Orang Kuala Lumpur sebenarnya mempunyai kesabaran luar biasa.
Sekiranya anda membuat temu janji, basikan sejam. Kerana jalan yang paling dekat sebenarnya satu putaran lengkap Kuala Lumpur. Tidak ada jalan mudah di Kuala Lumpur lagi. Jika mahu menaiki e-hailing pula, tambangnya tidak sepadan dengan yang disangka.
Lagi pula di Kuala Lumpur, orang membayar tol untuk masuk ke dalam kesesakan. Jalan besar yang dibuat tidak pernah mengambil kira kemudahan kepada orang ramai tetapi alasan untuk mengenakan tol.
Di tengah hingar-bingar itulah, Kuala Lumpur yang sebenarnya terserlah. Di tengah menara kembar yang menjadi kebangaan, masih ada gubuk buruk di pinggirnya, di tengah kemewahan hotel dan bangunan yang bahannya diimport sepenuhnya, masih perlu lorong sesak dan kiosk jagung bakar.
Kuala Lumpur akan terus ‘menyeksa’ warganya entah untuk berapa bulan atau tahun lagi. Tetapi dalam penyeksaan itulah bandar ini membina karakter unik dalam kalangan warganya.Salah satunya ialah kesediaan luar biasa untuk menerima apa sahaja yang akan berlaku. Sekalipun mereka menderita kepayahan untuk sekian lama lagi.-UTUSAN
ARIFF SALLEH
Kuala Lumpur










