Jangan salah guna kebebasan media

Jangan salah guna kebebasan media

AZAM BAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sebuah portal menerbitkan artikel bertajuk Azam’s blotted past does not warrant an extension sekali lagi memperlihatkan gaya penulisan yang tidak bersandar kepada fakta sahih, tetapi lebih kepada bayangan persepsi dan sentimen lama yang telah lama dijawab serta ditolak oleh pihak berkuasa yang berkaitan.

Tulisan ini bukanlah kupasan kritikal. Ia adalah serangan bersifat peribadi yang disulam dengan naratif politik lama, bertujuan untuk membina kemarahan, bukan kebenaran.
Mari kita bongkar satu persatu.

Fakta diperlekeh, persepsi dimuliakan
• Penulis didakwa sengaja mengelirukan pembaca dengan memetik kenyataan Suruhanjaya Sekuriti (SC) seolah-olah menyokong teori konspirasinya. Hakikatnya, SC telah menyiasat dan menyatakan secara jelas tiada pelanggaran undang-undang oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

• Pengendalian akaun dagangan saham oleh penjawat awam bukanlah jenayah selagi tidak melanggar undang-undang pasaran modal. SC mengesahkan Azam mengendali akaun tersebut, tetapi tidak mendapati sebarang kesalahan dari segi perundangan.

Namun bagi penulis, keputusan badan penguatkuasa bukanlah penentu. Yang penting ialah ‘rasa tidak puas hati’, walaupun tiada asas undang-undang.

‘Akaun adik saya’ dijadikan lawak murahan
• Satu-satunya modal penulis ialah menyindir penjelasan akaun tersebut turut digunakan oleh adik Azam. Beliau menjadikan isu ini seolah-olah satu ‘skandal nasional’ padahal tiada pertuduhan, tiada sabitan dan tiada kes yang dibawa ke mahkamah.

• Lebih ironik, penulis juga tidak menyentuh bagaimana ramai pemimpin pembangkang suatu ketika dahulu juga memberikan penjelasan jauh lebih meragukan, tetapi tidak pernah menerima cemuhan daripadanya.

Di mana suara kamu ketika Tommy Thomas mengaku campur tangan dalam pelantikan Ketua Hakim?
• Inilah hipokrasi yang paling ketara. Tommy Thomas dalam memoirnya secara terbuka mengakui pelantikan Tan Sri Richard Malanjum dan Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebagai Ketua Hakim Negara tidak melalui proses Jawatankuasa Pelantikan Kehakiman (JAC), iaitu pelanggaran yang lebih nyata terhadap peraturan sedia ada.

Tetapi penulis membisu. Tiada artikel pedas. Tiada retorik. Mengapa diam? Adakah kerana ia tidak selari dengan naratif politik yang mahu dipromosikan?

Logik songsang: ‘kerana namanya tercemar, maka dia bersalah’
Menurut penulis, Azam harus berundur bukan kerana melanggar undang-undang, tetapi kerana namanya telah tercemar. Ini satu prinsip undang-undang rimba iaitu hukum dahulu, siasat kemudian.

Jika prinsip ini digunakan secara menyeluruh, maka separuh daripada pemimpin politik negara termasuk yang pernah diangkat penulis harus disingkirkan serta-merta.

Rekod prestasi diabaikan, naratif negatif diperbesarkan
Di bawah kepimpinan Azam, SPRM telah:
• Menyiasat dan mendakwa pelbagai penjawat awam kanan
• Menyiasat tokoh-tokoh politik berprofil tinggi
• Mendedahkan RM177 juta wang tunai dalam penyiasatan terbaharu

Adakah ini tanda seorang yang tidak layak memimpin agensi pencegahan rasuah? Atau adakah ia petunjuk bahawa beliau berani menyentuh sesiapa sahaja tanpa mengira pangkat dan parti, sesuatu yang tidak disukai oleh sesetengah pihak?

Kritik bukan masalah tetapi biarlah jujur, konsisten
• Kritikan perlu dalam demokrasi. Tetapi mesti jujur, konsisten dan berlandaskan fakta. Apa yang ditulis penulis kali ini adalah satu naratif lama yang telah dijawab, dibersihkan melalui saluran sah, tetapi diulang semula untuk tujuan politik murahan.
Azam telah disiasat, diberikan keadilan melalui prosedur dan bebas daripada sebarang pertuduhan.

Jika penulis benar-benar prihatin terhadap integriti institusi, beliau seharusnya turut bersuara terhadap pelanggaran prinsip yang berlaku di semua pihak termasuk dilakukan pihak yang dahulu disanjungnya.

Tetapi beliau tidak. Dan itulah puncak hipokrasi!-UTUSAN

ARIF RAHMAN
Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×