NEW DELHI: BRICS menawarkan kelebihan geoekonomi penting dengan mewujudkan pasaran bersepadu yang besar, sekali gus memberi ruang kepada negara anggotanya mempelbagaikan perdagangan dan mengurangkan kebergantungan terhadap pasaran tradisional Barat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sinergi yang terhasil daripada kerjasama dalam kalangan negara BRICS mampu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran bersama.
Katanya, kelebihan itu perlu diterokai dan dimanfaatkan secara optimum bagi memperkukuh kapasiti ekonomi negara anggota.
“BRICS menawarkan kelebihan geoekonomi penting dalam pelbagai aspek dan menghasilkan massa kritikal daripada pasaran bersepadu yang besar, sekali gus membuka peluang untuk mempelbagaikan perdagangan.
“Akhirnya, sinergi yang tercipta, diterokai dan digunakan secara optimum ini akan berfungsi sebagai dorongan kepada pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran bersama,” katanya pada Sidang Kemuncak BRICS di sini, hari ini.
Anwar berkata, dunia tidak boleh terus bercakap mengenai pertumbuhan dan kemakmuran inklusif ketika peperangan melonjakkan harga tenaga serta mengancam laluan maritim yang menjadi talian hayat ekonomi global.
Beliau berkata, pencerobohan Israel di Asia Barat turut memberi kesan jauh melangkaui pihak yang terbabit secara langsung, termasuk negara yang tidak terlibat dalam konflik berkenaan.
“Negara-negara yang tidak terbabit dalam perang ini turut menanggung akibatnya melalui inflasi yang lebih tinggi dan ketidaktentuan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan Malaysia berpendirian bahawa kedaulatan perlu dihormati, orang awam mesti dilindungi dan arteri ekonomi global tidak wajar dijadikan medan perang.
Menurutnya, pihak yang mempunyai kapasiti terbesar untuk mencorakkan hala tuju dunia turut memikul tanggungjawab khusus bagi menghalang ketegangan daripada terus memuncak.
Anwar berkata, Malaysia berharap BRICS menyatakan pendirian jelas bahawa pendudukan, kolonialisme dan “keganasan pendatang” tidak boleh dianggap sebagai sesuatu yang tidak dapat dielakkan.
“BRICS mampu meluaskan pilihan dan memperkukuh kapasiti kita untuk mencorakkan dunia di sekeliling kita.
“Bagi Malaysia, autonomi strategik bermaksud kebebasan memilih haluan sendiri dan keberanian mempertahankan pilihan itu apabila tiba masanya,” katanya. – UTUSAN










