SEREMBAN: Penyertaan Malaysia dalam gabungan kerjasama ekonomi BRICS dapat memperkukuhkan ekonomi global khususnya melibatkan negara-negara selatan selain mengelakkan kebergantungan terhadap sistem tradisional yang dimonopoli kuasa besar.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, penyertaan Malaysia dalam BRICS juga menjadi wadah memperjuangkan kepentingan negara-negara selatan itu agar tidak terus ditekan dan tercicir dalam sistem ekonomi dunia.
Menurutnya, negara BRICS kini menyumbang hampir 30 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia, sekali gus membuktikan kekuatan ekonomi negara tersebut membangun secara signifikan.
“Agenda besar BRICS adalah memastikan negara-negara global south dapat mempertingkat dan memaksimumkan keupayaan masing-masing, terutama selepas pandemik Covid-19 yang menyebabkan banyak negara terbeban dengan hutang.
“Kita juga melihat sistem kewangan dunia perlu dinilai semula dan tidak lagi terlalu bergantung kepada sistem Bretton Woods sebagai asas kewangan global,” katanya kepada pemberita di Bandar Sri Sendayan, di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negara Rakan BRICS yang disertainya di New Delhi, India baru-baru ini.
BRICS dianggotai Brazil, Russia, India, China, Afrika Selatan, Mesir, Ethiopia, Iran, Emiriah Arab Bersatu dan Indonesia.
Selain Malaysia, Belarus, Bolivia, Cuba, Kazakhstan, Thailand, Uganda dan Uzbekistan menjadi Negara Rakan BRICS bermula 1 Januari 2025 manakala Nigeria memperoleh status sama pada 17 Januari 2025 diikuti Vietnam pada 13 Jun 2025.
Mohamad dalam pada itu berkata, antara perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat itu adalah kepentingan mengekalkan multilateralisme dalam hubungan antarabangsa ketika dunia berhadapan ketidaktentuan geopolitik.
“Ini selaras dengan dasar luar Malaysia, kita mahu supaya multilateralisme itu menjadi asas kepada hubungan antara negara-negara,” katanya.
Sementara itu, katanya, mesyuarat berkenaan turut menyaksikan perbincangan tidak rasmi mengenai krisis di Asia Barat termasuk ketegangan di Selat Hormuz yang memberi kesan kepada ekonomi global serta rantau ASEAN.
Beliau berkata, sepanjang mesyuarat itu beliau turut mengadakan pertemuan dengan rakan sejawat dari Iran, Rusia, India, Mesir, Emiriah Arab Bersatu, Cuba dan Thailand bagi memperkukuh kerjasama ekonomi serta perdagangan intra BRICS.
“Malaysia mahu melihat supaya krisis di teluk ini segera ditamatkan. Saya juga membawa suara Malaysia untuk mempertingkatkan perdagangan intra BRICS supaya kita lebih banyak berdagang dengan negara-negara anggota BRICS,” katanya.
Mohamad berkata, antara perkara lain yang dibincangkan termasuk kedudukan India sebagai rakan penting Malaysia dalam sektor perdagangan, farmaseutikal dan pelancongan. – UTUSAN










