Ponteng sekolah jejas masa hadapan pelajar

Ponteng sekolah jejas masa hadapan pelajar

PENGARUH persekitaran sosial memainkan peranan penting dan menjadi punca budaya ponteng sekolah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISU ponteng sekolah yang tidak ditangani dengan berkesan memberi kesan buruk terhadap pencapaian akademik pelajar, khususnya mereka yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Salah satu punca utama ponteng sekolah ialah sikap sambil lewa terhadap pendidikan. Sesetengah pelajar menganggap kehadiran ke sekolah tidak penting, terutama apabila mereka tidak melihat kepentingan pelajaran dalam kehidupan seharian. Faktor ini mungkin berpunca daripada kurangnya kesedaran tentang kepentingan pendidikan dalam mencapai masa hadapan yang lebih baik.

Tanpa motivasi yang kuat, pelajar mudah terpengaruh dengan rakan sebaya yang turut mengabaikan pelajaran. Keadaan ini diperburukkan lagi apabila ibu bapa tidak mengambil berat kehadiran anak-anak ke sekolah, sama ada kerana terlalu sibuk bekerja atau tidak menyedari impak ponteng sekolah terhadap masa hadapan.

Selain itu, tekanan akademik yang tinggi juga menjadi faktor penyumbang kepada masalah ini.

Pengaruh persekitaran sosial juga menjadi punca pelajar terjebak dalam budaya ponteng sekolah yang berlarutan. Kehadiran rakan sebaya yang sering ponteng boleh menarik pelajar lain untuk turut serta kerana mereka ingin diterima dalam kumpulan tersebut.

Bagi pelajar yang mempunyai masalah di rumah atau sekolah, ponteng sekolah mungkin menjadi satu bentuk ‘pelepasan’ daripada tekanan yang mereka alami. Mereka mungkin memilih untuk menghabiskan masa di pusat membeli-belah atau tempat-tempat lain yang lebih menyeronokkan berbanding berada di bilik darjah. Sekiranya tiada tindakan tegas diambil, budaya ini boleh menjadi kebiasaan sehingga sukar dikawal.

Banyak lagi faktor lain seperti kelemahan dalam pengurusan disiplin, keadaan sosioekonomi, masalah kesihatan mental dan lain-lain.

Bagi mengatasi masalah ini, kerjasama daripada semua pihak amat diperlukan. Pihak sekolah harus meningkatkan pemantauan terhadap kehadiran pelajar dan mengambil tindakan segera sekiranya terdapat pelajar yang kerap tidak hadir.

Program motivasi dan kaunseling yang lebih berkesan perlu dijalankan untuk membantu pelajar memahami kepentingan pendidikan selain memberi mereka dorongan untuk terus belajar. Guru juga harus lebih peka terhadap masalah yang dihadapi pelajar dan menyediakan bimbingan akademik bersesuaian agar mereka tidak ketinggalan dalam pelajaran.

Ibu bapa pula perlu memainkan peranan yang lebih aktif dalam memastikan anak-anak menghadiri sekolah secara konsisten.

Sikap ambil peduli terhadap perkembangan akademik anak-anak dan memberikan sokongan moral yang secukupnya dapat membantu pelajar lebih bersemangat untuk belajar.

Selain itu, pihak berkuasa seperti Kementerian Pendidikan perlu memperketatkan dasar berkaitan ponteng sekolah, termasuk mengenakan tindakan lebih tegas terhadap ibu bapa yang tidak memantau kehadiran anak-anak mereka. Pada masa sama, usaha juga perlu dilakukan untuk memperbaiki sistem pendidikan agar ia lebih inklusif dan tidak hanya menekankan pencapaian akademik semata-mata.

Secara keseluruhannya, ponteng sekolah yang berlarutan bukan sahaja menyebabkan pelajar kehilangan peluang untuk menduduki peperiksaan SPM, tetapi juga memberi kesan jangka panjang terhadap masa hadapan mereka.

Pendidikan adalah kunci kepada kehidupan yang lebih baik, dan kegagalan untuk menamatkan SPM boleh menyebabkan seseorang kehilangan peluang pekerjaan dan kemajuan dalam kehidupan.

Oleh itu, usaha bersepadu harus dilakukan untuk menangani isu ini dengan lebih berkesan agar setiap pelajar dapat menyedari kepentingan pendidikan dan tidak mensia-siakan peluang yang ada. Jika langkah-langkah yang sewajarnya diambil, kes ponteng sekolah boleh dikurangkan dan lebih ramai pelajar akan mendapat peluang untuk menghadapi peperiksaan SPM dengan persediaan yang lebih baik.-UTUSAN

AISYAH XARA
Sri Ayesa Islamic School,
Bangi, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN