DUNIA pekerjaan hari ini berubah dengan pantas. Jika dahulu pejabat dipenuhi timbunan kertas dan borang, kini semuanya beralih ke skrin komputer. Kemajuan teknologi menjanjikan pelbagai kemudahan, tetapi dalam masa sama mencipta cabaran baharu.
Tekanan kerja semakin meningkat dan batas antara masa kerja serta kehidupan peribadi menjadi semakin kabur.
Dalam banyak keadaan, teknologi mempercepatkan proses kerja dan mengurangkan keperluan tenaga kerja manual. Namun, di sebalik kecekapan ini, ada kebimbangan kecerdasan buatan (AI) akan menggantikan tenaga kerja manusia secara keseluruhan.
Walaupun terdapat ketakutan itu, AI sebenarnya boleh berfungsi sebagai alat bantu yang meringankan beban kerja.
Namun, peralihan ini membawa cabaran lain. Apabila teknologi mengambil alih kerja rutin, pekerja perlu meningkatkan kemahiran mereka agar tidak ketinggalan.
Penguasaan kemahiran digital menjadi semakin penting dan mereka yang enggan beradaptasi mungkin berisiko kehilangan daya saing dalam pasaran kerja. Oleh itu, majikan dan organisasi perlu memainkan peranan dalam menyediakan latihan dan pembangunan kemahiran supaya pekerja dapat menyesuaikan diri dengan perubahan ini.
Selain beban kerja yang semakin bertambah, konsep keseimbangan antara kerja dan kehidupan juga semakin berubah. Kini ramai mula memahami keseimbangan yang sebenar bukan sekadar membahagikan masa secara sama rata, tetapi lebih kepada bagaimana kerja dan kehidupan peribadi boleh disepadukan dengan lebih fleksibel.
Sebagai contoh, bekerja dari rumah membolehkan seseorang meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga sambil tetap menyelesaikan tugasan kerja.
Fleksibiliti dalam tempat dan waktu kerja boleh menjadi penyelesaian. Memberikan pilihan kepada pekerja untuk menentukan waktu kerja mereka mengikut kesesuaian boleh membantu mengurangkan tekanan. Sebagai contoh, sesetengah organisasi membenarkan pekerja memilih untuk masuk lebih awal dan pulang lebih awal atau sebaliknya, bergantung kepada kesesuaian individu. Pendekatan ini memberi ruang kepada pekerja untuk menyesuaikan jadual kerja mereka tanpa mengorbankan produktiviti.
Selain fleksibiliti, kesedaran tentang kesihatan mental pekerja juga perlu diberi perhatian. Tekanan kerja yang berlebihan boleh membawa kepada kelelahan fizikal, iaitu keadaan seseorang mengalami keletihan fizikal dan emosi yang melampau akibat beban kerja yang berterusan.
Masalah ini bukan sahaja menjejaskan individu tetapi juga organisasi secara keseluruhan kerana pekerja yang keletihan cenderung kurang produktif dan lebih kerap mengambil cuti sakit.
Salah satu cara untuk mengatasi isu ini adalah dengan mewujudkan budaya kerja yang lebih sihat. Majikan boleh mengambil inisiatif dengan menetapkan dasar yang lebih mesra pekerja, seperti mengehadkan penghantaran e-mel selepas waktu kerja, menggalakkan rehat yang mencukupi dan menyediakan sokongan psikologi bagi mereka yang mengalami tekanan kerja melampau.
Selain itu, pekerja juga perlu lebih peka terhadap kesejahteraan mereka dan berani untuk menetapkan batas dalam urusan kerja.
Akhirnya, dunia pekerjaan hari ini menuntut kita mencari keseimbangan. Teknologi boleh menjadi sahabat atau musuh, bergantung pada cara ia digunakan. Jika dimanfaatkan dengan betul, ia boleh meningkatkan produktiviti dan membolehkan pekerja menjalani kehidupan yang lebih fleksibel. Namun, jika tidak dikawal, ia boleh menyebabkan tekanan yang berlebihan dan menjejaskan kesejahteraan pekerja.
Oleh itu, majikan dan pekerja perlu bekerjasama dalam membentuk persekitaran kerja yang lebih mampan. Latihan kemahiran digital, dasar kerja fleksibel dan kesedaran tentang kesihatan mental adalah antara aspek yang perlu diberi perhatian untuk memastikan keseimbangan antara kerja dan kehidupan dapat dicapai.
Dalam mengejar kejayaan, penting untuk tidak mengorbankan kesejahteraan diri sendiri. Akhirnya, produktiviti sebenar bukan hanya diukur berdasarkan jumlah kerja yang diselesaikan, tetapi juga sejauh mana seseorang itu mampu menjalani kehidupan yang berkualiti dalam dunia kerja yang semakin mencabar ini. – UTUSAN
DR. MAZZLIDA MAT DELI
Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan (UKM-GSB)










