Peluang adil guru swasta ikut kursus Kementerian Pendidikan

Peluang adil guru swasta ikut kursus Kementerian Pendidikan

KURSUS yang dianjurkan Kementerian Pendidikan memberi peluang kepada guru sekolah swasta untuk memahami dasar dan kurikulum kebangsaan dengan lebih mendalam. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERANAN guru tidak hanya terbatas kepada penyampaian ilmu tetapi juga membimbing pelajar mencapai potensi penuh mereka. Oleh itu, penting bagi guru sekolah swasta diberi peluang untuk mengikuti kursus dan perbengkelan anjuran Kementerian Pendidikan (KPM).

Langkah ini bukan sahaja dapat meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran (PdPc) tetapi juga memastikan sekolah swasta mampu bersaing dan setara dengan sekolah kerajaan dari segi standard pendidikan.

Ini kerana kursus dan perbengkelan dianjurkan KPM memberi pendedahan tentang teknik pengajaran terkini. Dalam era teknologi maklumat ini, pelbagai pendekatan inovatif diperkenalkan untuk menarik minat pelajar. Guru sekolah swasta juga perlu mendapat akses kepada maklumat ini agar dapat mengaplikasikan kaedah pengajaran yang relevan dan berkesan di dalam bilik darjah.

Selain itu, ia memberi peluang kepada guru sekolah swasta untuk memahami dasar dan kurikulum kebangsaan dengan lebih mendalam. Walaupun sekolah swasta sering menggunakan silibus alternatif seperti Sijil Am Antarabangsa Pendidikan Menengah (IGCSE) atau kurikulum antarabangsa lain, pemahaman terhadap kurikulum kebangsaan tetap penting.

Ini kerana ramai pelajar di sekolah swasta berasal daripada latar belakang Malaysia dan perlu mengambil peperiksaan seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Dengan pengetahuan ini, guru dapat memastikan pelajar bersedia menghadapi peperiksaan kebangsaan.

Tambahan pula, kursus atau bengkel sebegini dapat meningkatkan profesionalisme guru kerana sentiasa diberi peluang untuk menambah ilmu sekali gus menjadikan mereka lebih yakin menyampaikan PdPc. Melalui kursus anjuran KPM, guru dapat bertukar pandangan dengan rakan sejawat dari sekolah kerajaan dan berkongsi amalan terbaik. Interaksi ini membolehkan mereka memperbaiki kelemahan serta memperkaya pengalaman dalam bidang pendidikan.

Seterusnya, dapat membantu guru menangani cabaran dalam PdPc. Guru sering berdepan dengan pelajar yang mempunyai tahap pemahaman berbeza serta kekurangan motivasi untuk belajar. Dengan latihan yang bersesuaian, guru dapat mempelajari teknik untuk menangani cabaran ini, termasuk pendekatan pembelajaran berpusatkan pelajar dan penggunaan strategi pengajaran diferensiasi.

Dari perspektif pentadbiran, penglibatan guru sekolah swasta boleh memperkukuh hubungan, sekali gus mengurangkan jurang antara dua sektor ini. Selain itu, guru yang lebih berkemahiran akan memberikan sumbangan besar kepada pembangunan modal insan yang berkualiti, sama ada di sekolah kerajaan atau swasta.-UTUSAN

AISYAH XARA MOHD SYUKRI
Sri Ayesha Islamic School
Bangi, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN