Lemah penguasaan subjek matematik, di mana silapnya?

Lemah penguasaan subjek matematik, di mana silapnya?

SISTEM pendidikan perlu melakukan pembaharuan dalam cara pengajaran dan pembelajaran matematik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MATEMATIK merupakan subjek asas yang memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian dan kerjaya masa hadapan. Walau bagaimanapun, masih terdapat kelemahan dalam penguasaan subjek ini dalam kalangan pelajar, meskipun mereka telah mempelajarinya sejak peringkat sekolah rendah. Salah satu punca utama kelemahan penguasaan matematik dalam kalangan pelajar ialah sukatan pelajaran yang terlalu padat dan kompleks.

Kurikulum matematik di sekolah rendah bukan sahaja menekankan konsep asas, tetapi juga memperkenalkan soalan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) yang mencabar.

Meskipun KBAT adalah kaedah yang baik untuk melatih pelajar berfikir secara kritikal, pendekatan ini seharusnya diterapkan secara berperingkat dan bukan secara mendadak sejak awal persekolahan. Jika konsep asas tidak difahami dengan baik, pelajar akan berasa sukar dan akhirnya hilang minat untuk belajar matematik. Oleh itu, pendekatan pengajaran perlu lebih sistematik, bermula dengan soalan yang mudah dan terus meningkat kepada tahap lebih tinggi.

Di samping itu, kebanyakan pelajar sekolah rendah berasa terbeban dengan jumlah subjek yang banyak serta silibus yang luas. Matematik yang seharusnya diajar secara santai untuk meningkatkan minat pelajar kini menjadi subjek yang menekan mereka dengan konsep yang terlalu sukar untuk difahami.

Akibatnya, apabila mereka melangkah ke peringkat menengah dan universiti, mereka masih tidak dapat menyelesaikan masalah asas matematik dengan berkesan.

Ini menunjukkan bahawa pembelajaran di peringkat sekolah tidak cukup berkesan dalam memastikan pelajar benar-benar memahami konsep yang dipelajari. Salah satu faktor yang menyumbang kepada masalah ini ialah kaedah pengajaran yang lebih berorientasikan peperiksaan berbanding pemahaman sebenar.

Pelajar lebih menumpukan kepada menghafal kaedah penyelesaian masalah tanpa benar-benar memahami konsep di sebaliknya. Oleh itu, apabila mereka menghadapi soalan yang berbeza sedikit daripada contoh yang dipelajari, mereka menjadi keliru dan gagal menyelesaikan masalah tersebut.

Untuk menangani masalah ini, sistem pendidikan perlu melakukan pembaharuan dalam cara pengajaran dan pembelajaran matematik. Antara langkah yang boleh diambil termasuklah meringankan silibus sekolah rendah dengan memberikan lebih penekanan kepada pemahaman asas sebelum memperkenalkan konsep yang lebih kompleks.

Di samping itu, pendekatan KBAT perlu disusun semula dan digunakan secara berperingkat supaya pelajar tidak berasa terlalu terbeban dengan soalan yang sukar pada usia muda. Selain itu, teknologi seperti aplikasi pembelajaran, permainan matematik, dan simulasi boleh digunakan untuk menjadikan matematik lebih menarik dan interaktif.

Lebih penting lagi, latihan pemahaman konsep harus diberi keutamaan berbanding penghafalan formula bagi memastikan pelajar benar-benar memahami asas matematik.

Matematik sepatutnya menjadi subjek yang menyeronokkan dan mudah difahami, bukan menjadi beban kepada pelajar. Masalah kelemahan penguasaan matematik bukan berpunca daripada pelajar semata-mata, tetapi lebih kepada sistem pendidikan yang perlu dirombak agar lebih berkesan.

Jika kita benar-benar ingin melahirkan generasi yang cemerlang dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), maka kita perlu memastikan bahawa asas matematik diajarkan dengan cara yang lebih sistematik dan sesuai dengan tahap perkembangan pelajar.

Sudah tiba masanya kita menilai semula sistem pendidikan matematik di negara ini agar ia lebih efektif dalam membentuk generasi yang mahir dan berminat dalam bidang ini. – UTUSAN

DR. HAFIZAH ZULKIPLI
Pensyarah Kanan
Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN