Kementerian, agensi dan swasta perlu bantu naik taraf sekolah daif

Kementerian, agensi dan pihak swasta perlu bantu naik taraf sekolah daif

KERJASAMA rentas kementerian dan agensi mempunyai matlamat yang sama iaitu memberikan prasarana pendidikan yang terbaik untuk rakyat terutama di Negeri Sarawak dan Sabah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELARI dengan agenda reformasi pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) iaitu meningkatkan tahap kualiti pendidikan negara, Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) selaku agensi pelaksana sentiasa komited menyokong usaha ini melalui aspek pembangunan infrastruktur pendidikan.

Pelaksanaan projek-projek pendidikan khususnya Program Sekolah Daif bertujuan untuk menyediakan kemudahan yang lebih sempurna, selesa, serta mewujudkan suasana persekitaran pengajaran dan pembelajaran yang kondusif dan selamat kepada warga sekolah.

Penyerahan surat setuju terima diadakan bagi salah satu program Projek Sekolah Daif Sabah (2023) iaitu pembinaan semula bangunan daif Sekolah Kebangsaan Batu Putih Baru, Sandakan, Sabah (Reka dan Bina) kepada Eastbourne Corporation Berhad dengan kos kontrak yang dipersetujui berjumlah RM43.891 juta.

Tempoh pembinaan projek ini adalah selama 217 minggu dan dijadualkan siap pada April 2029 di mana tarikh siap projek (CPC) ini telah mengambil kira penyiapan sebahagian yang telah disesuaikan dengan skop projek yang diluluskan.

Skop pembinaan projek yang telah diluluskan oleh pihak KPM dan Kementerian Ekonomi ialah perobohan blok-blok sekolah yang telah daif dan uzur yang berskala 6 hingga 7, membina blok akademik 18 bilik darjah, blok pentadbiran, blok prasekolah, kantin serta lain-lain kemudahan, dan menaik taraf tiga blok sekolah sedia ada bertujuan menyediakan fasiliti dan kemudahan prasarana sekolah yang selamat, selesa dan kondusif kepada seramai 43 orang guru, lima orang kakitangan dan 520 orang murid.

Bagi mempercepatkan fasa pembinaan semula bangunan sekolah daif ini, ia akan menggunakan teknologi sistem binaan berindustri (IBS) serta mengadaptasi penggunaan model informasi bangunan (BIM) seperti mana yang telah ditetapkan didalam kontrak.

Projek ini juga telah melalui proses makmal pengurusan nilai dengan kerjasama KPM dan JKR yang turut melibatkan pelbagai pihak termasuk Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Pejabat Pendidikan Daerah serta ‘pengguna akhir’ iaitu pihak sekolah.

Melalui peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, Cawangan Kerja Pendidikan, JKR Malaysia telah diamanahkan untuk melaksanakan sebanyak 92 projek-projek KPM di Negeri Sabah dan 36 projek di Negeri Sarawak.

Kerjasama rentas kementerian dan agensi yang telah terjalin ini mempunyai matlamat yang sama iaitu memberikan prasarana pendidikan yang terbaik untuk rakyat terutama di Negeri Sarawak dan Sabah.

KKR berharap agar pihak kontraktor yang dilantik dapat memberikan penekanan terhadap tanggungjawab untuk merealisasikan apa yang disyaratkan oleh kerajaan di dalam kontrak mengikut masa, kos dan kualiti yang ditetapkan serta mengutamakan aspek keselamatan di kawasan tempat kerja. JKR Malaysia diminta untuk memantau kualiti kerja serta menilai prestasi kontraktor demi manfaat dan kesejahteraan kepada rakyat. – UTUSAN

DATUK SERI ALEXANDER NANTA LINGGI
Menteri Kerja Raya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN