TATKALA bahang kejutan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 minggu lalu masih menghangatkan suhu politik tanah air, kini kita bakal berhadapan pula dengan satu lagi pusingan pertembungan parti-parti politik utama dalam satu lagi gelanggang pertempuran penting di Negeri Sembilan pula.
Hari ini kita bakal menyaksikan penamaan calon bagi PRN Negeri Sembilan ke-16, di mana nama calon-calon yang layak bertanding akan diumumkan oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Ini bermakna gelanggang PRN sudah dibuka dengan rasminya, dan bermulalah tempoh rasmi berkempen yang akan berlangsung selama dua minggu sebelum tiba hari pengundiannya pada 1 Ogos nanti.
Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada PRN Johor baru-baru ini telah mengetengahkan satu soalan yang sangat penting. Adakah kemenangan besar ini membawa maksud rakyat rentas kaum sudah kembali menyokong BN seperti dahulu, atau adakah kejayaan ini hanya terpakai di Johor sahaja?
Maka, keputusan PRN Negeri Sembilan kali ini sangat penting untuk kita melihat corak pengundian bukan sahaja dalam kalangan pengundi Melayu, bahkan juga bukan Melayu di negeri yang diterajui Pakatan Harapan (PH).
Walaupun PRN Johor sudah seminggu berlalu, namun keputusannya masih penting untuk dikaji bagi memahami bagaimana parti keramat Melayu itu merangkul 48 kerusi. Memang tidak dapat dinafikan ia kejutan besar kepada pihak lawan, khasnya penyokong mereka yang berada di luar Johor.
Saya tiba di Johor Bahru sehari sebelum hari mengundi dan dapat melihat sendiri keadaan di lapangan. Pada hari mengundi, suasana sekeliling dapat menggambarkan arah sentimen pengundi di sini yang memihak kepada BN.
Johor ialah kubu kuat BN, khasnya UMNO sejak dahulu lagi. Tetapi, dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 pada 2018, berlaku fenomena menolak kerajaan BN secara besar-besaran akibat sentimen politik yang kuat pada ketika itu apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad menyertai pembangkang melalui penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Walau bagaimanapun, di Johor penolakan ini tidak lama dan sejurus selepas itu dalam PRN Johor ke-15 pada 2022, BN kembali diberi mandat oleh rakyat untuk membentuk kerajaan negeri.
Meskipun begitu, ramai mempertikaikan sama ada keputusan PRN tersebut benar-benar mencerminkan suara keseluruhan pengundi Johor kerana peratusan keluar mengundi rendah susulan wabak Covid-19 yang masih menular ketika itu.
Lalu, mereka membandingkan keputusan PRN itu dengan keputusan Parlimen pada PRU15, di mana PH berjaya memenangi 15 kerusi, sedangkan BN hanya memenangi 9 daripada 26 kerusi Parlimen Johor.

PRN NEGERI SEMBILAN UJIAN SEBENAR GELOMBANG BIRU
Namun, satu faktor yang sering kita lupakan ialah kewujudan gelombang hijau pada waktu itu yang menarik ramai anak muda Melayu mengundi Perikatan Nasional (PN) kerana terpengaruh dengan kempen media sosial mereka.
Akibatnya, undi Melayu berpecah. Ketika itu undi PN meningkat sehingga hampir menyamai peratusan undi untuk BN dan menyebabkan parti itu kalah kepada PH di beberapa kerusi tradisinya.
Ini membolehkan kerusi dimenangi PH meningkat walaupun peratusan undi yang diraih sebenarnya turun sebanyak 0.5 peratus berbanding undi yang mereka peroleh semasa PRN Johor ke-15.
Menariknya dalam PRN ini, BN bukan hanya dapat meraih kembali kebanyakan undi Melayu tetapi juga undi bukan Melayu. Malah, PN hilang deposit di kebanyakan kerusi yang mereka tandingi.
Maka, adakah hal yang sama akan berulang di Negeri Sembilan dan seterusnya membolehkan BN menerajui kerajaannya di kala PH dilihat lebih kuat di negeri itu?
Walaupun Negeri Sembilan dahulunya milik tetap BN tetapi kini bukanlah kubu UMNO seteguh Johor. Malah, DAP berjaya memegang 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan sejak 2008 dan meningkat kepada 11 sejak 2013.
Meskipun begitu, adakah pergolakan dalaman PH akan mempengaruhi prestasi mereka dalam PRN ini? Dengan DAP sebagai parti dominan PH di Negeri Sembilan, kita menjangkakan satu pertembungan sengit dalam usaha memenangi undi Melayu dan seterusnya memenangi PRN ini.
Lebih menarik, ada pihak melihat PRN Negeri Sembilan seolah-olah menjadi medan pertempuran bagi BN dan PH memandangkan tiada pentindihan kerusi antara BN dan PN setakat ini selain terdapat beberapa calon PH yang dikatakan berpihak kepada Datuk Seri Rafizi Ramli.
Apa yang menjadikan hal ini lebih menarik lagi ialah Parti Bersama Malaysia (Bersama) juga tidak bertanding, menimbulkan lagi persoalan tentang peranan calon-calon PH yang disebut sebagai Pasukan B.
Kita bakal melihat bagaimanakah corak kempen daripada parti-parti yang bertanding dalam PRN ini. Ramai yang menyuarakan cara berkempen yang bertentangan dengan cara dan budaya bangsa Johor menyumbang kepada kekalahan teruk PH di Johor minggu lalu.
Malah, salah seorang exco Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa parti itu untuk menghentikan politik sensasi kerana ia bukan sahaja tidak membawa dampak tetapi juga menjadikan pengundi muak.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke juga berkali-kali menyentuh tentang pentingnya menghormati institusi diraja serta adat Negeri Sembilan semasa berkempen.
Johor dan Negeri Sembilan kedua-duanya negeri beradat yang mungkin sukar dihayati oleh orang dari luar. Oleh itu, setiap parti mesti bijak mengatur langkah dan bukannya bergantung kepada sensasi dan populisme semata-mata.
Keupayaan menghayati denyut hati pengundi serta budaya tempatan akan memberi kelebihan kepada usaha menawan hati pengundi.
Kita mengharapkan kempen yang bersih dan bertanggungjawab serta jauh daripada unsur fitnah dan mainan persepsi walaupun PRN ini begitu penting kepada semua pihak yang bertanding.
PH dan PN perlu memenangi kerusi yang mereka tandingi untuk menebus prestasi buruk mereka di Johor.
Bagi BN pula, kemenangan ini amat penting untuk meneruskan momentum gelombang biru dari Johor agar terus membara. Oleh itu, mereka perlu buktikan bahawa apa yang digelar sebagai kerjasama agung Rumah Bangsa ini berjaya mencapai matlamatnya. –UTUSAN
PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










