Belia penentu masa depan industri sawit

Belia penentu masa depan industri sawit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEKTOR sawit terus menjadi antara pemacu utama ekonomi negara. Industri ini bukan sahaja menyumbang kepada pendapatan eksport, malah menyediakan peluang pekerjaan, menggerakkan pembangunan luar bandar dan menyokong pelbagai industri hiliran.

Namun, kelestarian sektor sawit tidak boleh diukur berdasarkan keluasan ladang atau nilai eksport semata-mata. Masa depan industri itu turut bergantung pada keupayaan negara melahirkan generasi muda yang bersedia meneruskan, memperbaharui dan memacu transformasinya.

Hakikatnya, penglibatan belia dalam sektor sawit masih belum berada pada tahap yang diharapkan. Ramai masih menganggap industri ini sebagai pekerjaan berat, tradisional dan kurang menarik berbanding sektor digital, teknologi atau perkhidmatan.

Persepsi sedemikian perlu diubah kerana sektor sawit hari ini berkembang sebagai industri moden yang memanfaatkan teknologi, inovasi dan pengurusan berasaskan data.

Jika keadaan ini berterusan, sektor sawit berdepan risiko kekurangan tenaga kerja tempatan apabila generasi sedia ada semakin berusia, manakala kebergantungan kepada pekerja asing masih tinggi. Keadaan tersebut menuntut pendekatan baharu yang mampu menarik minat belia untuk melihat industri sawit sebagai bidang kerjaya yang menawarkan prospek luas serta peluang membina masa depan.

Selain menarik penyertaan belia, industri ini juga perlu memberi ruang kepada mereka menyumbang dalam proses membuat keputusan. Ketika ini, kebanyakan belia hanya terlibat dalam latihan atau operasi di lapangan, sedangkan penyertaan dalam kepimpinan, pengurusan institusi dan tadbir urus industri masih terhad.

Keadaan ini menunjukkan cabaran sebenar bukan sekadar kekurangan minat, tetapi juga kekurangan peluang untuk berkembang sebagai pemimpin masa depan.

Bagi memastikan sektor sawit terus berdaya saing sementara pembangunan kemahiran perlu menjadi keutamaan. Belia perlu menguasai teknologi pertanian moden seperti penggunaan dron, internet kebendaan (IoT), analisis data, pemantauan alam sekitar, sistem kebolehkesanan rantaian bekalan dan amalan pertanian mampan.

Penguasaan kemahiran ini bukan sahaja meningkatkan produktiviti, malah membolehkan mereka menjadi pencetus inovasi dalam industri.

Pada masa sama, sektor sawit menawarkan pelbagai peluang keusahawanan yang masih belum diteroka sepenuhnya. Rantaian nilainya merangkumi perkhidmatan ladang, logistik, pemasaran digital, pengeluaran produk hiliran, biojisim, baja organik serta ekonomi kitaran. Pendekatan ini lebih dekat dengan aspirasi generasi muda yang cenderung kepada inovasi, kebebasan kerjaya dan penciptaan nilai baharu.

Aspek kelestarian alam sekitar juga perlu dijadikan sebahagian daripada pembangunan belia sawit. Isu seperti biodiversiti, pelepasan karbon, pengurusan sisa dan pematuhan pensijilan mampan perlu difahami sebagai peluang, bukannya beban. Penglibatan belia dalam projek ekonomi kitaran, termasuk memanfaatkan sisa tandan kosong, pelepah sawit dan efluen kilang untuk menghasilkan produk bernilai tambah selain mampu melahirkan lebih ramai usahawan hijau.

Menurut Pensyarah Kanan Program Pengurusan Alam Sekitar, Pusat Kajian Pembangunan, Sosial dan Persekitaran (SEEDS), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Siti Dina Razman Pahri, dasar kelestarian sawit perlu mengambil kira faktor demografi dengan memberi ruang lebih besar kepada penyertaan belia dalam tadbir urus industri.

Katanya, reformasi kawal selia perlu memasukkan aspek pewarisan generasi, pembangunan kepimpinan dan sokongan institusi sebagai sebahagian daripada kerangka kelestarian.

Sehubungan itu, institusi pendidikan, latihan teknikal dan vokasional (TVET), agensi kerajaan serta persatuan pekebun kecil perlu memperkukuh kerjasama bagi melahirkan lebih ramai tenaga mahir yang memenuhi keperluan industri.
Pada masa sama, insentif pembiayaan, geran dan bimbingan perniagaan wajar diperluas bagi membantu belia menceburi bidang keusahawanan sawit. –UTUSAN

DR. Nor Azrul Mohd. Zin ialah Pensyarah Kanan Pusat Kajian Pembangunan, Sosial dan Persekitaran, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN