APABILA cerpen Makan Malam tersiar di sebuah majalah pada Ogos 1995, mesejnya cukup sederhana. Saya mahu memperlihatkan bagaimana sebuah keluarga tidak dibina hanya dengan ikatan darah, malah diperkukuh melalui detik-detik yang dikongsi bersama.
Dalam cerpen itu yang kemudian dimuatkan dalam buku Surat Dari Madras (1999), amalan makan malam bukan sekadar urusan mengisi perut. Meja makan menjadi ruang pertemuan, dapur menjadi tempat lahirnya persefahaman, manakala makanan menjadi bahasa kasih yang tidak memerlukan penterjemah.
31 tahun sudah berlalu. Dunia berubah begitu pantas dan pelbagai norma baharu menjadi amalan. Telefon pintar menggantikan perbualan. Tempahan makanan dalam talian menggantikan aroma tumisan dari dapur rumah. Jadual kerja dan pengajian yang padat menyebabkan setiap ahli keluarga hidup mengikut waktu masing-masing. Ada yang pulang ketika orang lain sudah tidur. Ada yang makan di hadapan komputer. Ada yang terpaksa makan di dalam kereta kerana mengejar masa atau terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.
Akibatnya, kita semakin kehilangan sesuatu yang jauh lebih berharga daripada resipi masakan.
Kita kehilangan kesempatan untuk mengenali orang yang tinggal serumah.
Hakikat ini turut disentuh dalam pelbagai laporan media sejak beberapa tahun lalu. Anak-anak semakin jauh dari dapur. Kemahiran memasak tidak lagi dianggap sebahagian proses membesar. Dapur berubah menjadi ruang yang hanya dikunjungi apabila ketuhar gelombang mikro berbunyi atau penghantar makanan menekan loceng pintu.
Setiap kali melihat anak dan isteri memasak di dapur, saya akui betapa amalan memasak bersama ialah pendidikan kehidupan yang paling murah dan sangat berkesan.
Segalanya bermula dengan memilih menu. Barangkali kelihatan remeh apabila seorang ibu bertanya, “Apa kita hendak masak esok?”. Namun, soalan itu sebenarnya mendidik setiap ahli keluarga mendengar pandangan orang lain.
Anak-anak belajar mengemukakan cadangan. Datuk mengingatkan tentang masakan tradisional yang semakin dilupakan. Nenek mengenang petua lama yang diwarisi turun-temurun. Bapa pula menimbang kemampuan kewangan sebelum membuat keputusan.
Tanpa disedari, sebuah mesyuarat keluarga sedang berlangsung dalam suasana santai. Selepas itu, perjalanan ke pasar atau pasar raya menjadi ‘kelas kehidupan’ yang tidak terdapat dalam mana-mana buku teks.
Anak-anak belajar memilih sayur yang segar, mengenal rempah, membandingkan harga, memahami nilai wang serta membezakan antara keperluan dan kehendak.
Apabila tiba masa menyediakan bahan, setiap orang ada peranan. Seorang membasuh sayur, seorang mengupas bawang, seorang lagi mengisar rempah. Kerja menjadi ringan kerana dipikul bersama.
Lebih penting, perbualan mengalir tanpa dipaksa. Kisah di sekolah, cabaran di tempat kerja, kenangan zaman kanak-kanak, malah gurauan yang mengundang ketawa, semuanya muncul secara semula jadi ketika tangan sibuk bekerja.
Ahli psikologi keluarga dan pengasas The Family Dinner Project, Dr. Anne Fishel dari Harvard Medical School, berulang kali menegaskan, kekuatan amalan makan bersama bukan terletak pada makanan yang dihidangkan, sebaliknya komunikasi yang terjalin.
Apabila keluarga berbual dalam suasana yang selamat dan saling menghormati, hubungan emosi menjadi lebih kukuh, manakala anak-anak berasa mereka didengari dan dihargai.
Sebenarnya, proses memasak juga mempunyai nilai psikologi tersendiri. Aktiviti memotong, menggaul, menguli dan memasak memerlukan kerjasama, kesabaran serta kepercayaan.
Tidak mungkin gulai menjadi sempurna jika setiap orang mahu menjadi ketua. Tidak mungkin hidangan siap tepat pada waktu jika tiada pembahagian tugas.
Dapur mengajar kita hakikat kehidupan keluarga bukan pertandingan untuk menentukan siapa paling hebat, sebaliknya ruang untuk saling melengkapi.

DAPUR, SEKOLAH PERTAMA ANAK-ANAK
Saya sempat membaca penyelidikan psikologi oleh Dr. Theda Radtke dan rakan-rakan di British Journal of Health Psychology (September 2019). Kanak-kanak didapati lebih cenderung menikmati sayur-sayuran apabila mereka sendiri terlibat menyediakan makanan.
Fenomena yang disebut ‘Kesan IKEA’ menunjukkan manusia lebih menghargai hasil yang lahir daripada usaha sendiri. Prinsip ini ternyata bukan sahaja berlaku pada perabot yang dipasang sendiri tetapi juga pada makanan yang dimasak bersama keluarga.
Selepas makanan siap, semua ahli keluarga duduk semeja. Tiada telefon bimbit dan tiada televisyen menguasai perhatian. Apa yang penting ialah wajah-wajah di hadapan kita.
Pada saat itu, nasi, kari, sup atau sayur goreng hanyalah pelengkap. Hidangan sebenar ialah masa yang dikongsi bersama.
Pakar pediatrik turut mengakui, amalan makan bersama secara tetap ada kaitan dengan harga diri lebih tinggi, pencapaian akademik lebih baik serta risiko kemurungan dan pelbagai tingkah laku berisiko lebih rendah dalam kalangan remaja.
Selesai makan, kerja belum berakhir. Pinggan perlu dibasuh, meja perlu dilap dan dapur perlu dikemaskan. Bahagian inilah yang sering dianggap membosankan, sedangkan di sinilah lahir rasa tanggungjawab.
Anak-anak akan sedar, menikmati hasil juga bererti berkongsi beban. Mereka memahami hakikat setiap hak datang bersama tanggungjawab.
Barangkali kita tidak mampu berkumpul setiap hari. Tuntutan pekerjaan dan pengajian sememangnya realiti zaman ini. Namun, sekali atau dua kali seminggu sudah memadai sebagai permulaan.
Apa yang penting bukanlah kemewahan hidangan tetapi kesungguhan menyediakan ruang pertemuan.
Apabila keluarga memasak bersama, kita sebenarnya sedang memasak kenangan. Apabila kita makan bersama, kita sedang menyuapkan rasa percaya, hormat dan kasih sayang ke dalam jiwa setiap ahli keluarga.
Kemudian, apabila kita membersihkan dapur bersama-sama, kita sedang mengajar hakikat sebuah keluarga bukan dibina oleh seorang insan, sebaliknya oleh semua yang sanggup menghulurkan tangan.
Tiga dekad selepas cerpen Makan Malam disiarkan, saya masih percaya dapur dan ruang makan ialah universiti pertama bagi sebuah keluarga. Di sinilah anak-anak belajar menjadi manusia sebelum mereka belajar menjadi profesional.
Di sinilah kasih sayang tidak diajar melalui syarahan, sebaliknya melalui seulas bawang yang dikupas bersama, semangkuk kuah yang dikacau bergilir-gilir, dan sepinggan nasi yang dinikmati tanpa tergesa-gesa.-UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).










