MALAYSIA sebagai sebuah negara majmuk memerlukan elemen penting dalam pembinaan negara bangsa, iaitu kemahiran insaniah. Kemahiran insaniah merangkumi aspek seperti komunikasi, kerja berpasukan, kepimpinan, pemikiran kritis, etika dan nilai profesionalisme yang bukan sahaja penting dalam dunia pekerjaan, tetapi juga dalam membentuk masyarakat harmoni dan progresif.
Dalam konteks ini, kemahiran komunikasi yang berkesan sangat diperlukan agar masyarakat dapat berinteraksi secara positif tanpa menyinggung sensitiviti mana-mana pihak. Sebagai contoh, rakyat Malaysia yang mempunyai kemahiran komunikasi yang baik akan lebih berhati-hati dalam berbahasa, terutama ketika membincangkan isu-isu sensitif berkaitan agama dan budaya.
Dalam era globalisasi, Malaysia perlu memastikan rakyatnya memiliki kemahiran insaniah yang tinggi bagi meningkatkan daya saing negara di peringkat antarabangsa. Kemahiran seperti kepimpinan, pemikiran kritis dan penyelesaian masalah amat diperlukan untuk melahirkan tenaga kerja yang inovatif dan berdaya saing.
Pembinaan negara bangsa tidak akan berjaya tanpa kepimpinan yang berwibawa dan berintegriti. Pemimpin yang baik bukan sahaja perlu mempunyai ilmu dan pengalaman tetapi juga kemahiran insaniah yang tinggi termasuk kebolehan untuk berkomunikasi dengan rakyat, membuat keputusan dengan bijak dan menyelesaikan masalah dengan berkesan.
Dalam konteks Malaysia, pemimpin yang berwibawa perlu mempunyai kemahiran untuk memahami keperluan dan kehendak rakyat daripada pelbagai latar belakang. Mereka harus bersikap adil dan tidak berat sebelah dalam membuat keputusan yang melibatkan kepentingan umum. Sebagai contoh, dalam menangani isu perpaduan nasional, pemimpin perlu mempunyai kebolehan untuk mendengar dan memahami pandangan daripada semua kaum sebelum merangka dasar yang boleh diterima oleh semua pihak.
Di samping itu, integriti dalam kepimpinan juga amat penting dalam memastikan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan dan institusi negara. Pemimpin yang mempunyai kemahiran insaniah yang tinggi akan lebih beretika dalam menjalankan tugas dan tidak mudah terpengaruh dengan amalan rasuah atau salah guna kuasa.
Dalam sistem pendidikan, guru bukan sahaja bertanggungjawab menyampaikan ilmu akademik, tetapi juga membentuk sahsiah dan kemahiran sosial pelajar. Pendekatan pembelajaran berasaskan projek dan pembelajaran kolaboratif dalam bilik darjah dapat membantu pelajar membangunkan kemahiran insaniah seperti kerja berpasukan, kepimpinan serta komunikasi.
Di peringkat institusi pengajian tinggi (IPT), kemahiran insaniah semakin diberi penekanan dalam kurikulum. Program latihan industri, kerja sukarela dan aktiviti keusahawanan yang dianjurkan membantu pelajar membina kemahiran yang diperlukan dalam dunia pekerjaan. Dengan adanya modal insan yang berkualiti dan berdaya saing, Malaysia akan lebih bersedia untuk menghadapi cabaran ekonomi dan sosial pada masa hadapan.
Dalam dunia yang semakin kompleks dan mencabar, rakyat Malaysia perlu menguasai kemahiran insaniah untuk memastikan keharmonian sosial dan kemajuan negara dapat dikekalkan.
Oleh itu, usaha perlu dipertingkatkan oleh kerajaan, institusi pendidikan dan masyarakat dalam memupuk kemahiran insaniah agar rakyat Malaysia berkembang sebagai sebuah negara bangsa yang bersatu, progresif dan berjaya di peringkat global. – UTUSAN
MOHD KHAIRULAZMAN ABU BAKAR
Ketua Unit Komunikasi Korporat
Politeknik Hulu Terengganu










