BARU-baru ini Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyatakan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia pengeluar getah nombor satu dunia dalam tempoh sepuluh tahun akan datang.
Sasaran tersebut adalah realistik sekiranya usaha penanaman semula dan inovasi dalam industri getah dilaksanakan secara menyeluruh dan sistematik.
Di Malaysia sekarang terdapat seluas 800,000 hektar kawasan tanaman getah dan separuh darinya perlu ditanam semula kerana pokok-pokok yang ada sudah tua.
Sebenarnya bukan para pekebun kecil tidak mahu menanam semula pokok-pokok getah mereka yang sudah tua, tetapi melihat kepada pulangannya tidak menentu disebabkan harga getah tidak stabil, menyebabkan kebun-kebun getah tersebut terbiar begitu sahaja.
Dengan perancangan untuk memberi tanggungjawab kepada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) sebagai pembeli getah tunggal di negara ini, adalah diharapkan industri getah negara akan semakin kukuh.
Adalah tidak logik jika harga getah yang diusahakan oleh para penanam getah di negara ini dikuasai oleh negara lain yang tidak ada langsung pokok getah.
Sementara itu, apabila segala yang dirancangkan itu mula menampakkan hasil positif, setiap pekebun kecil hendaklah menyokong usaha kerajaan untuk menanam semula pokok-pokok getah tua dan kebun-kebun terbiar.
Sebagaimana jaminan diberi oleh Ahmad Zahid, dibawah program tanaman semula tersebut, pokok getah yang hendak diganti mestilah menggunakan baka berkualiti serta kaedah automasi untuk proses penorehan dan pengumpulan.
Di bawah perancangan baharu itu juga tidak semata-mata melibatkan penjualan susu getah, tetapi turut berkembang kepada industri perabot menggunakan kayu getah yang telah dirawat.
Semoga dengan penjualan susu dan kayu getah berkualiti, sinar cerah akan menunggu para penoreh getah di negara ini, terutama para pekebun kecil yang sekian lama hidup dalam kemiskinan kerana harga getah tidak stabil. – UTUSAN
RAMLI ISMAIL,
Kangar, Perlis










