PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) mencadangkan Kementerian Kesihatan supaya mengharamkan budaya vape yang semakin hari semakin meningkat dalam kalangan pelajar.
Jika tindakan perlu tidak diambil pihak berwajib, maka, kita akan melihat lebih banyak kes kecederaan paru-paru berkait penggunaan rokok elektrik atau vape (Evali) di Malaysia.
Evali ialah keadaan keradangan serius yang merosakkan paru-paru. Ia berkembang akibat daripada vape, iaitu apabila menggunakan peranti elektronik yang kecil untuk menyedut zarah-zarah kecil cecair nikotin dan perisa.
Evali boleh menjejaskan mereka yang menggunakan produk vape sehingga 90 hari sebelum gejala bermula.
Kerajaan perlu mengeluarkan lebih RM150,000 untuk merawat individu yang mengalami Evali, kata Kementerian Kesihatan.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata kementeriannya merekodkan 41 kes Evali dari 2019 hingga 30 September tahun lalu.
Kami terkejut apabila membaca kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan bahawa sebanyak 20,000 murid sekokah dikesan terbabit dalam aktiviti penggunaan rokok elektronik dan vape sepanjang tahun 2024.
CAP sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dalam mendidik murid dan belia mengenai bahaya rokok, vape dan rokok elektronik percaya angka yang disebut itu tidak tepat, sebaliknya lebih banyak melibatkan pelajar sekolah rendah dan menengah.
Dalam ceramah kami bersama pelajar sekolah, apabila ditanya, mereka mendedahkan menghisap vape. Mereka bukan sahaja membelinya tetapi mendapat peranti ini daripada bapa dan abang di rumah.
CAP mencadangkan agar pihak berkuasa tempatan (PBT) berhenti mengeluarkan lesen untuk kedai vape baharu dan juga tidak membenarkan memperbaharui lesen sedia ada.
Sepatutnya tiada lagi kedai yang menjual vape berhampiran sekolah atau kawasan komuniti.
Gerai di tepi jalan yang menjual produk itu juga mestilah dialihkan.
Kenakan hukuman yang lebih tegas kepada peruncit yang didapati menjual peranti itu atau dadah dalam perisa vape kepada kanak-kanak atau murid sekolah.
CAP sekali lagi menggesa Kementerian Kesihatan supaya haramkan vape untuk selamatkan nyawa anak-anak Malaysia agar tidak ada lagi wabak vape.-UTUSAN
N.V.SUBBAROW
Pegawai Pendidikan dan Aktivis Anti Merokok
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)










