MALAYSIA mencatatkan kenaikan 20 peratus dalam jumlah pengguna di Coursera, yang mencerminkan aspirasi dan komitmen rakyat Malaysia untuk meningkatkan kemahiran serta kekal relevan dalam pasaran kerja global yang dinamik. Dua trend utama yang muncul pada 2024 adalah permintaan luar biasa terhadap pembelajaran GenAI, serta peningkatan keutamaan terhadap kandungan yang disesuaikan untuk keperluan kerjaya khusus.
Menurut Indeks Trend Kerja Microsoft 2024, kemahiran kecerdasan buatan (AI) kini menjadi keutamaan bagi majikan di Malaysia. Sebanyak 62 peratus berkongsi mereka tidak akan mengambil pekerja tanpa kemahiran AI, manakala 65 peratus lebih mengutamakan calon kurang berpengalaman namun memiliki kemahiran AI, berbanding calon lebih berpengalaman namun tanpa kemahiran tersebut.
Pada 2024, setiap dua minit, seseorang individu di Asia Pasifik akan mendaftar untuk kursus GenAI di Coursera, menjadikannya kemahiran wajib bagi profesional dalam pelbagai industri.
Peningkatan minat terhadap pembelajaran GenAI di Malaysia turut mencerminkan trend global dan rantau APAC. Pada 2024, Coursera mencatatkan kenaikan lima kali ganda dalam pendaftaran kursus GenAI, dipacu oleh kursus seperti Asas AI Google, AI Generatif untuk Semua dan AI Generatif: Pengenalan dan Aplikasi.
Walaupun kursus asas GenAI kekal popular, tumpuan umum telah beralih kepada pengaplikasian GenAI di tempat kerja, mencerminkan minat yang semakin mendalam tentang pengaplikasian teknologi praktikal.
Selain AI, pelajar Malaysia terus mendaftar untuk kursus popular seperti perniagaan, bahasa, pemasaran, pengurusan projek dan analitik data, sekali gus menonjolkan kepentingan membina kemahiran versatil dalam pasaran kerja yang dinamik.
Sijil profesional peringkat permulaan (kelayakan yang diiktiraf industri) tanpa keperluan pengalaman atau ijazah turut mencatatkan kenaikan. Sebanyak 60 peratus kursus paling popular seperti Asas: Data di Mana Jua Sahaja, dan Asas Pengurusan Projek telah menyumbang kepada program ini.
Pengarah Urusan Asia Pasifik Coursera, Raghav Gupta berkata, pelajar Malaysia bersedia menghadapi masa depan kerja dengan mengutamakan GenAI dan kemahiran kritikal yang selaras dengan keperluan pekerjaan, untuk kekal berdaya saing dalam pasaran pekerjaan yang sentiasa berubah. Kemajuan mereka di tengah-tengah revolusi GenAI mencerminkan kecekalan, keupayaan menyesuaikan diri dan kesungguhan mereka untuk menjadi pemimpin di pentas global.
Pada 2025, mereka menjangkakan perlumbaan global ke arah literasi AI akan lebih cepat dan komited untuk memperkasakan pelajar Malaysia dengan pendidikan yang mudah diakses dan transformatif untuk berjaya dalam dunia yang dikuasakan AI.
Dapatan awal daripada Laporan Kemahiran Kerja Coursera 2025 menunjukkan usaha pelajar perusahaan di Malaysia selari dengan trend pembelajaran keseluruhan. Kemahiran GenAI mempunyai permintaan tertinggi dalam kalangan pelajar Malaysia, diikuti oleh kepimpinan dan pengurusan krisis, empati dan belas kasihan, pengurusan risiko serta pemikiran analitikal.
Ini menonjolkan kesungguhan untuk membina tempat kerja yang teguh dan bersedia untuk masa depan. Penemuan ini menunjukkan sinergi yang semakin meningkat antara inisiatif peningkatan kemahiran oleh institusi Malaysia dan keperluan tenaga kerja global. – UTUSAN
CHEN YUIN LIN dan JASMINE KAMAL
Archetype Malaysia










