RAMAI marah apabila pendakwah selebriti dari negara jiran mencela seorang peniaga air yang mencari rezeki halal dan merasakan perbuatan itu sangat keterlaluan tetapi malangnya sikap yang sama tidak ditunjukkan kepada pendakwah yang suka mengungkapkan perkataan tidak wajar di pentas ceramah.
Hal ini bukan sahaja tidak diberikan kritikan hangat, malahan disanjung dan dipertahankan atas alasan itu adalah cara orang tempat tertentu bertutur dan bercakap.
Pendakwah yang baik hendaklah mengetahui faktor paling penting untuk melaksanakannya dengan cara yang paling baik dan mendapat taufiq Allah SWT ialah mengikhlaskan diri kepada Allah, tidak dicampuri dengan sesuatu yang lain seperti riak dan suka menonjol diri.
Para pendakwah mudah terdedah kepada fitnah sekiranya dakwahnya begitu berkesan dan mempesonakan orang ramai serta orang ramai mengelilingi mereka. Oleh itu, mereka hendaklah sentiasa mentajdidkan dan mengikhlaskan niat mereka hanya kerana Allah SWT semata-mata.
Pendakwah hendaklah memastikan dirinya mengikut ajaran Allah SWT sepertimana firman-Nya: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.”(Surah al-Nahl: 125).
Gunalah pendekatan yang terbaik dalam dakwah, iaitu berdakwah dengan cara yang terbaik. Itulah usaha dan kewajipan seorang pendakwah. Namun, urusan berkaitan pemberian petunjuk dan penyesatan serta pembalasan terhadap kedua-duanya diserahkan kepada Allah SWT semata-mata.
Ciri-ciri pendakwah yang unggul mestilah memiliki niat yang betul, sentiasa melakukan penyucian jiwa (tazkiyatul nufus), melazimi zikir, sentiasa mendekatkan diri kepada Allah (muraqobatullah), memahami konsep fiqh dakwah, melazimi Qiamullail, menghiasi diri dengan sifat terpuji dan menjauhi segala sifat tercela.
Wahai pendakwah yang budiman, ayuh bersihkan pentas ceramah agama daripada makian dan kata-kata kesat kerana ia dihadiri juga oleh anak kecil. Mereka tidak sepatutnya mendengar kata-kata tersebut kesat dan makian, kelak akan dicontohi. Semoga Allah selamatkan kita semua.-UTUSAN
DR. KHALILULLAH AMIN AHMAD
Pensyarah Fakulti Al-Quran dan Sunnah
Universiti Islam Antarabangsa Tuanku
Syed Sirajuddin (UniSIRAJ)










