SEDAR atau tidak, persatuan belia pada hari ini kian lesu malahan seperti hidup segan mati tak mahu. Tidak seperti dulu, di mana-mana sahaja ada persatuan belia waima di ceruk kampung pedalaman. Di manakah silapnya?
Sesuatu harus dilakukan segera oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS), yang ketika ini diterajui oleh tenaga muda. Setakat ini tidak berapa jelas program untuk anak-anak muda, sedangkan mereka adalah bakal pemimpin masa hadapan.
Padang-padang permainan seperti futsal, sepak takraw, bola sepak dan bola tampar yang suatu ketika dulu penuh dengan golongan belia dan beliawanis sudah mula terbiar dan semak. Ini merupakan pembaziran duit kerajaan kerana kemudahan yang dibina dibiarkan dan tidak diuruskan dengan baik.
Bilik persatuan belia di kampung sudah bersawang dan terbiar. Mungkin tiada peruntukan dari daerah? Para belia pada hari ini seperti tiada nakhoda. Suatu ketika dulu banyak kursus dan bengkel kemahiran dianjurkan oleh persatuan belia sehingga melahirkan banyak anak-anak muda belia yang berjaya dalam bidang masing-masing.
Dalam sukan lahirlah bakat-bakat baharu yang boleh diketengahkan untuk mewakili negeri dan negara.
Apa yang diharapkan akan ada tsunami untuk menghidupkan semula persatuan belia yang sudah lesu. Kita yakin KBS akan mampu melakukannya. – UTUSAN
CIKGU OTAI
Pahang










