RICHARD Elmore, seorang profesor di Universiti Harvard berkata, teras instruksional perlu dihayati sejajar dengan usaha Kementerian Pendidikan ke arah meningkatkan kemenjadian murid dan melahirkan sekolah berkualiti.
Guru bukan hanya penyampai ilmu. Guru perlu berkemahiran dalam mengurus aktiviti pengajaran. Keberkesanan guru dalam merancang pengajaran, mengurus bilik darjah serta menyediakan pengalaman pembelajaran yang menarik dan mencabar adalah asas kejayaan dalam penyampaian ilmu.
Pengajaran yang berkesan memerlukan fleksibiliti dengan menyesuaikan pendekatan mengajar mengikut keperluan individu murid. Oleh itu, guru wajar memiliki keupayaan dalam pedagogi berbeza bagi memastikan pendekatan pengajaran digunakan sesuai dengan keperluan murid yang memiliki kecergasan pelbagai dan memenuhi gaya belajar.
Pendekatan mengajar yang berpusatkan murid, pembelajaran berasaskan projek atau pembelajaran kolaboratif adalah antara kaedah berkesan bagi memastikan setiap murid mendapat pengalaman pembelajaran yang efektif. Bersesuaian dengan Dasar Pendidikan Digital, guru digalakkan mengintegrasikan alat seperti platform dalam talian, video pendidikan dan aplikasi interaktif yang menyokong proses pengajaran dan pembelajaran (PdP). Di samping itu, guru juga berperanan sebagai pendorong untuk menggalakkan murid berusaha mengatasi cabaran dan terus meningkatkan prestasi dalam pembelajaran mereka. Guru harus mencipta persekitaran yang positif dan menyokong agar murid berasa diberi perhatian dan dihargai.
Murid pula berperanan sebagai penerima ilmu yang aktif dalam proses pembelajaran. Murid perlu berinteraksi dengan kandungan atau isi pelajaran dan rakan sekelas untuk membina pemahaman terhadap konsep yang dipelajari dengan lebih mendalam. Keterlibatan murid dalam pembelajaran yang berkesan memberi mereka peluang untuk mengembangkan kemahiran berfikir secara kreatif dan kritikal, menyelesaikan masalah secara berstruktur serta berkomunikasi secara berkesan dengan orang lain.
Dalam hal ini, kemahiran literasi digital yang tinggi dalam kalangan murid juga menjadi asas penting agar aktiviti pembelajaran mampu merangsang dan memberi ruang untuk murid meneroka serta belajar secara kendiri. Medium pembelajaran bukan lagi terhad di dalam kelas tetapi melangkaui ruang yang sangat luas.
Kandungan pengajaran adalah elemen ketiga dalam teras instruksional. Kandungan ini merujuk kepada subjek atau bahan yang diajarkan oleh guru kepada murid. Bagi meningkatkan kemenjadian murid, kandungan pengajaran mestilah relevan, mencabar dan sesuai dengan tahap perkembangan murid. Guru juga perlu memastikan kandungan pengajaran adalah sesuai dengan perkembangan semasa, khususnya dalam aspek kemajuan teknologi digital.
Dalam dunia digital, kandungan pengajaran tidak lagi terhad kepada bahan cetakan, tetapi kini merangkumi pelbagai jenis media seperti video, infografik, e-buku serta platform pembelajaran dalam talian yang lebih interaktif.
Memang tidak dapat dinafikan, proses PdP yang berkesan bergantung pada kualiti interaksi antara ketiga-tiga elemen ini. Perhatian yang seimbang kepada ketiga-tiga elemen ini perlu dihayati oleh semua guru agar matlamat pendidikan tercapai iaitu melahirkan modal insan berkemahiran hidup yang lebih holistik bagi masa depan murid. – UTUSAN
MUHAMAD YAZID ABDUL WAHAB
Pegawai School Improvement Partners+,
Pejabat Pendidikan Daerah Mersing Johor










