GABUNGAN Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) terkesan berkaitan satu berita yang tular di media sosial berkenaan dengan pendedahan individu berkaitan dengan sindiket pemalsuan penganugerahan ijazah doktor kehormat (PhD) hanya dengan bermodalkan RM12,000.
GPMS akui untuk memperoleh kelulusan akademik sehingga PhD bukanlah sesuatu yang mudah. Adakalanya perlu berkorban masa, wang ringgit, tenaga dan kudrat semata-mata untuk memperoleh kelulusan tertinggi berikut. Adalah menjadi satu ketidakadilan apabila ada yang bertungkus-lumus untuk mendapat kelulusan tahap tertinggi berikut sedangkan ada satu pihak membolot keuntungan dengan memberikan kelulusan sewenang-wenangnya.
GPMS yakin sindiket ini bukan baru wujud dan mungkin telah wujud sejak sekian lama dan menggunakan modus operandi yang berbeza. Hal ini akan menjadi salah satu punca kepada lahirnya individu yang mempunyai kelulusan PhD yang tidak berkualiti dan tiada nilai dalam institusi akademik negara.
Oleh itu, GPMS berpandangan perkara ini perlu diambil tindakan yang serius oleh pihak berwajib khususnya Kementerian Pendidikan Tinggi dan pihak berkuasa dalam menangani sindiket haram ini.
Menjadi satu kewajipan pihak berautoriti untuk menghapuskan sindiket ini demi memastikan ilmuwan dan cendekiawan yang ada di Malaysia bukanlah palsu demi menjaga martabat institusi keilmuan. – UTUSAN
MUHAMMAD ASREE ABDUL AZIZ
Setiausaha Agung Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS)










