Tubuh Suruhanjaya Pendidikan Nasional

Tubuh Suruhanjaya Pendidikan Nasional

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MERUJUK kepada perbalahan di Parlimen antara Menteri Pendidikan dan bekas Menteri Pendidikan mengenai keputusan memansuhkan peperiksaan UPSR dan PT3 dianggap memalukan oleh sesetengah pihak, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) memandang serius isu ini.

Pertelagahan seperti ini tidak seharusnya berlaku kerana ia mencerminkan kelemahan dalam pengurusan isu-isu pendidikan yang memerlukan perhatian strategik. Sebelah pihak cuba melampiaskan tekanan yang diterima bukan dari keputusan yang dibuat manakala sebelah pihak lagi pula dilihat meragui keputusan yang telah diambil dahulu.

GPMS menegaskan bahawa pendidikan adalah isu dasar yang harus dikelola dengan bijaksana, jauh daripada elemen politiking yang boleh merugikan generasi akan datang. Ketidaksefahaman yang berlaku menunjukkan betapa pentingnya negara mempunyai satu badan bebas dan berautoriti untuk memantau, merancang, dan memastikan kesinambungan dasar pendidikan secara konsisten.

Sehubungan itu, GPMS sekali lagi mengulangi gesaan agar kerajaan segera menubuhkan Suruhanjaya Pendidikan yang bertanggungjawab untuk:

Menjamin Konsistensi Dasar Pendidikan: Suruhanjaya ini dapat memastikan setiap dasar pendidikan dirancang dan dilaksanakan dengan fokus jangka panjang tanpa dipengaruhi oleh pertukaran pentadbiran atau kepentingan politik.

Mengangkat Pendidikan sebagai Agenda Nasional: Dengan adanya Suruhanjaya, pendidikan akan menjadi satu agenda yang bersifat holistik dan bebas daripada sebarang kepentingan politik.

Meningkatkan Kualiti Sistem Pendidikan: Suruhanjaya ini boleh berfungsi sebagai badan pengawas yang memastikan pelaksanaan dasar menepati objektif sebenar untuk meningkatkan kualiti sistem pendidikan negara.

GPMS percaya bahawa langkah ini adalah jalan terbaik untuk memastikan hala tuju pendidikan negara terus kukuh dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana konflik politik yang hanya akan membawa kesan negatif kepada para pelajar, guru, dan masyarakat.

Kami menyeru semua pihak termasuk kerajaan, pembangkang, dan pemegang taruh dalam sektor pendidikan untuk bersama-sama menyokong cadangan ini demi masa depan generasi akan datang. GPMS sedia menjadi rakan strategik dalam memastikan kejayaan pelaksanaan Suruhanjaya Pendidikan ini. – UTUSAN

FAZREEN FAUZI
Presiden GPMS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN