MASYARAKAT moden pada era ini beranggapan bahawa perpustakaan telah kurang kepentingan kerana limpahan maklumat yang lebih pantas diperolehi tanpa mengetahui sumbernya sama ada sahih ataupun tidak, iaitu internet. Tidak dinafikan bahawa maklumat terkini amat mudah didapati melalui telefon pintar berbanding di perpustakaan. Kebarangkalian pengunjung kurang mengunjung perpustakaan merangkumi pelbagai faktor yang perlu dipertimbangkan.
Laman sesawang di Internet seperti Google, FireFox dan seangkatannya, adalah faktor utama pencarian maklumat terkini yang sering digunakan oleh pengguna pada era ini. Kebanyakan maklumat yang diperoleh melalui sumber di laman sesawang juga tergolong dari sumber autoritatif.
Pengguna era ini kebanyakan telah mempunyai kemahiran maklumat yang tersendiri, sebagai contoh penilaian sumber diperoleh akan diselidik terlebih dahulu dengan terperinci tanpa perlu mengunjung ke perpustakaan.
Aktiviti pencarian maklumat melalui sumber elektronik atau laman sesawang lebih mudah jika dibandingkan di perpustakaan. Pada masa kini, terdapat kemudahan teknologi terkini seperti ChatGPT iaitu teknologi AI yang mampu menjawab pelbagai persoalan yang diberi oleh pengguna.
Namun, ChatGPT bukanlah dianggap sebagai saingan perpustakaan kerana sumber yang diperoleh dari ChatGPT adalah mengikut skrip yang ditetapkan oleh pentadbir sistem.
Kelebihan ChatGPT adalah memberi respon dengan pantas beserta fakta yang lengkap namun begitu keterbatasan dalam menjawab persoalan luar skrip tidak dapat dibantu oleh sistem tersebut.
Apabila dilihat kurang kunjungan dari pengunjung ke perpustakaan sama ada perpustakaan awam, institusi pengajian tinggi mahupun perpustakaan khusus adalah menjadi sesuatu yang menggusarkan oleh kakitangannya. Ini akan memberi impak atas penubuhan perpustakaan itu di mata masyarakat negara ini.
Namun, jika dilihat operasi perpustakaan itu bukanlah hanya tertakluk kepada jumlah pengunjung, akan tetapi dipengaruhi oleh faktor lain seperti sumber elektronik, kunjungan laman rasmi dan aktiviti yang dijalankan.
Sebagai contoh, kepentingan kewujudan perpustakaan yang telah ditetapkan oleh agensi atau jabatan kerajaan seperti Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) di mana mengikut penerbitannya Kod Amalan Akreditasi Program, telah menyatakan pada Bidang 6: Sumber Pendidikan bahawa kemudahan fizikal perpustakaan adalah wajib.
Ini menunjukkan bahawa perpustakaan di masa kini masih sangat penting dengan sokongan dari pihak kerajaan. Selain itu, demografi penduduk di negara ini juga turut dipertimbangkan sebagai cabaran bagi perpustakaan kerana budaya pencarian maklumat atau kurangnya minat membaca di perpustakaan menyumbang kepada cabaran perpustakaan itu sendiri.
Minat adalah satu perkara subjektif dan tidak boleh diukur kerana pada sesetengah individu mereka lebih cenderung menghabiskan masa di perpustakaan, dan ada juga lebih cenderung ke pusat membeli belah atau taman rekreasi pada hujung minggu. Meskipun perpustakaan telahpun menghabiskan modal mereka dalam program-program yang menarik, namun minat individu di serata tempat adalah faktor penting bagi mereka melibatkan diri dalam aktiviti perpustakaan itu.
Selain itu, limpahan maklumat yang diperoleh dari sumber internet yang telah memudahkan pengguna dalam pencarian maklumat dan ini merupakan cabaran bagi perpustakaan untuk menangkis halangan tersebut. Dengan wujudnya ketersediaan maklumat yang berautoriti serta aktiviti menarik di perpustakaan, ia mampu menarik minat pengunjung mampu membendung cabaran yang dihadapi. – UTUSAN
QUDRI ALI ABU BAKAR
Pustakawan Khaw & Partners
Kuala Lumpur










