Keputusan KPM tidak tangguh SPM wajar

Keputusan KPM tidak tangguh SPM wajar

KEMENTERIAN Pendidikan mempunyai penyelesaian untuk calon Sijil Peljaran Malaysia (SPM) walaupun kediaman mereka dilanda banjir tanpa perlu menangguhkan peperiksaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APABILA Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Menterinya, Fadhlina Sidek mengatakan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak akan ditangguhkan walaupun beberapa negeri dilanda banjir, ramai yang melenting mengatakan menteri dan kementerian tidak ada nilai kemanusiaan.

Bagi juak-juak politik pula, ini digunakan sebagai modal untuk sembang kedai kopi mereka hingga ada yang melabelkan KPM sebagai pilih kasih hingga membawa kepada elemen rasis.

Ini adalah antara sikap masyarakat kita yang hanya mahukan apa mereka kehendaki sahaja. Jika keputusan itu tidak selari dengan apa yang dikehendaki maka akan segera dikritik, dikutuk dan dijadikan modal politik tanpa mengambil kira baik buruknya.

Perlu diingat keseluruhan calon SPM adalah sekitar setengah juta orang. Manakala yang terbabit dengan banjir sekitar 24,000 orang. Bukan bermakna yang 24,000 ini tidak penting. Tetapi KPM ada penyelesaian untuk mereka walaupun kediaman mereka dilanda banjir tanpa perlu menangguhkan peperiksaan.

Ada pelbagai alternatif yang boleh diambil tanpa perlu menangguhkan peperiksaan penting ini. Tiada penangguhan juga menunjukkan kerajaan terutama KPM semakin cekap dalam menguruskan hal-hal yang berkaitan pelajar dan peperiksaan tanpa perlu melakukan penangguhan dan sebagainya.

Selain itu, sebarang penangguhan pasti akan membabitkan kos tambahan. Ini bukan bermakna kerajaan berkira tentang kos untuk meringankan beban anak-anak yang belajar, tetapi dalam keadaan beberapa negeri dilanda bencana kos tambahan itu adalah lebih elok jika disalurkan kepada mereka yang memerlukan seperti bantuan untuk membina semula rumah dan sebagainya.

Selain itu jika SPM ditangguhkan, sudah tentunya tempoh untuk menyemak kertas peperiksaan dan pemberian markah serta gred perlu dianjak. Ini sudah tentu akan menjejaskan tarikh pengambilan pelajar masuk ke institusi pengajian tinggi. Jika ini berlaku apakah bermakna semester pembelajaran perlu juga dianjak? Bagaimana dengan waktu konvokesyen pula? Sedangkan ada universiti yang masih berhadapan dengan konvokesyen tertunggak yang tertangguh ketika pandemik Covid-19 dahulu.

Sebagai rakyat Malaysia yang rasional, kita tidak sepatutnya mengambil pendekatan melihat dan menilai sebelum membantah atau membuat kritikan.

KPM bukan dikendalikan oleh menteri seorang sahaja. Terdapat ribuan pentadbir di dalamnya yang mempunyai pengalaman mengendalikan peperiksaan penting semalam puluhan tahun.

Sudah tentu menteri membuat keputusan atas nasihat daripada pakar-pakar dalam terdapat di kementerian. Dan pakar-pakar ini pula membuat keputusan berdasarkan pengalaman dan perkiraan yang cukup teliti dan mendalam.-UTUSAN

AWANG DEKE
Pokok Sena, Kedah

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×