Jangan gadaikan maruah bahasa Melayu hanya kerana pelancong

Jangan gadaikan maruah bahasa Melayu hanya kerana pelancong

PELANCONG datang dan pergi, tetapi bahasa Melayu adalah milik kita yang seharusnya terus dimartabatkan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAHASA Melayu adalah bahasa kebangsaan yang menjadi simbol maruah dan identiti bangsa. Sebagai negara yang berbilang kaum dan budaya, bahasa Melayu berperanan penting dalam menyatukan rakyat pelbagai latar belakang. Namun, dalam menghadapi arus globalisasi dan kemajuan sektor pelancongan, bahasa itu semakin terpinggir.

Hal ini berlaku apabila masyarakat mula mengutamakan bahasa asing, terutamanya bahasa Inggeris dalam kehidupan seharian, lebih-lebih lagi apabila berurusan dengan pelancong. Ini menimbulkan persoalan, adakah kita sanggup menggadaikan maruah bahasa kita hanya demi kepentingan pelancong?

Walaupun kita berinteraksi menggunakan bahasa Inggeris dengan pelancong, namun ia tidak langsung mengurangkan keutamaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.

Apabila kita lebih cenderung menggunakan bahasa asing semata-mata untuk memuaskan hati pelancong, kita sebenarnya sedang merosakkan jati diri bangsa sendiri. Pelancong datang dan pergi, tetapi bahasa Melayu adalah milik kita yang seharusnya terus dimartabatkan.

Dalam keadaan negara yang semakin berbilang bangsa ini, bahasa Melayu memainkan peranan penting dalam menjaga keharmonian. Bahasa Melayu adalah medium yang menghubungkan rakyat dari pelbagai latar belakang untuk berkomunikasi dan memahami antara satu sama lain.

Oleh itu, mengutamakan bahasa Melayu dalam kehidupan seharian adalah suatu kewajipan, bukan hanya untuk memastikan maruah bahasa kita terjaga, tetapi juga untuk memastikan perpaduan negara.

Selain itu, apabila terlalu mengutamakan bahasa asing, kita juga sedang merugikan generasi muda yang semakin kurang minat mempelajari dan menguasai bahasa Melayu dengan baik. Ini akan memberi kesan terhadap kemahiran bahasa mereka yang semakin berkurang, sekali gus menyebabkan kurang berdaya saing dalam dunia pekerjaan. Jika kita terus memberi tumpuan kepada bahasa asing semata-mata, kita akan kehilangan generasi yang mampu mempertahankan bahasa dan budaya kita.

Namun, bukan bermaksud kita harus menolak bahasa asing sepenuhnya. Bahasa Inggeris dan bahasa asing lain memang penting dalam dunia globalisasi, terutama dalam bidang pendidikan dan perniagaan. Tetapi kita tidak seharusnya mengorbankan bahasa Melayu yang merupakan bahasa rasmi negara. Kita boleh menggunakan kedua-dua bahasa tersebut secara bijak tanpa menjejaskan maruah dan martabat bahasa kebangsaan kita. Penggunaan bahasa asing haruslah dalam konteks yang sesuai, bukan untuk menggantikan bahasa Melayu sebagai bahasa utama.

Keadaan ini juga memerlukan kerjasama dari semua pihak, termasuk kerajaan, sektor swasta, dan masyarakat. Kerajaan harus terus memperkenalkan inisiatif untuk menggalakkan penggunaan bahasa Melayu dalam sektor pelancongan, seperti menyediakan latihan bahasa Melayu untuk pekerja yang terlibat dalam industri ini. Sektor swasta juga perlu memainkan peranan dalam memastikan penggunaan bahasa Melayu dalam setiap aspek perniagaan, terutamanya dalam perkhidmatan yang melibatkan pelancongan. Masyarakat pula perlu mengamalkan penggunaan bahasa Melayu dalam kehidupan seharian, tanpa mengira siapa yang menjadi rakan bicara.

Kita perlu berbangga dengan bahasa Melayu dan berusaha untuk memastikan ia tidak hilang ditelan arus kemodenan. Kita harus menanamkan kesedaran dalam diri bahawa bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan yang perlu dipelihara dan dipertahankan.

Janganlah kerana mahu menyenangkan pelancong, kita menggadaikan maruah bahasa Melayu. Kita perlu memastikan bahasa Melayu terus berkembang dan diperkasa, bukan sahaja di dalam negara tetapi juga di peringkat antarabangsa. – UTUSAN

AZIZUL ASYRAF MD. HELMI
Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Sulaiman, Parit Sulong, Johor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN