HARI ini, makanan sudah berevolusi kepada pelbagai bentuk makanan. Juga pelbagai campuran bahan dalam sesuatu makanan. Ada masanya, kita sebagai muslim terlepas pandang sesuatu makanan sehingga termakan makanan yang haram.
Antara keadaan yang menafikan dosa dan haram ialah ketidaksedaran tentang makanan haram. Contohnya, muslim meyakini suatu makanan sebagai makanan halal berdasarkan nama. Ini seperti kedai makan yang menggunakan nama yang menarik perhatian muslim sehingga wujud persepsi bahawa makanan yang disediakan dalam kedai makan tersebut adalah halal.
Antara nama yang perlu diberi perhatian ialah Pork Free dan Muslim Friendly. Pork Free bermaksud bahawa tiada babi yang dihidangkan atau digunakan sebagai makanan. Istilah Pork Free ini antaranya sebagai makluman kepada masyarakat muslim bahawa tiada daging babi dan elemennya dalam makanan. Namun kedapatan muslim yang tidak menyedari istilah dan nama ini maka muslim menyangka Pork Free bermaksud makanan itu adalah halal. Maka ini adalah satu kesilapan bagi muslim yang tidak menyedari keadaan ini. Maka ketidaksedaran ini menafikan dosa dan keharaman. Begitu juga dengan istilah Muslim Friendly atau mesra muslim.
Istilah dan nama ini menyebabkan muslim beranggapan bahawa makanan yang disediakan adalah halal hanya kerana mesra muslim dengan tiadanya daging babi, tiadanya ayam yang tidak disembelih dan tiadanya arak. Namun, makanan halal merangkumi pelbagai perkara lain yang perlu diambil kira.
Islam tidak menetapkan makanan halal wajib disediakan oleh muslim sahaja. Islam sebaliknya terbuka dalam perkara ini. Maka Islam menerima kehalalan makanan yang disediakan oleh individu bukan muslim. Apa yang penting ialah kehalalan makanan. Begitu juga kewujudan gerai yang halal dalam kedai besar yang menyediakan makanan tidak halal.
Contohnya kedai mee goreng milik muslim yang terletak dalam kawasan kedai makan milik bukan muslim. Selagi mana makanannya halal maka ia tetap halal.
Islam juga tidak memberatkan umat Islam untuk begitu terperinci dalam menilai sesuatu makanan. Apabila zahirnya halal maka ia sudah dikira halal. Ini adalah satu bentuk kemudahan Islam dalam kehidupan beragama.
Walaupun tidak berdosa apabila makan makanan haram kerana keadaan tertentu, kita sebagai muslim hendaklah berhati-hati dengan makanan. Ini agar tidak termakan makanan yang haram. Antara langkah untuk berhati-hati ialah memastikan kewujudan sijil halal yang masih sah bagi sesebuah kedai makan khususnya kedai makan yang diuruskan oleh individu bukan muslim. Ini kerana individu bukan muslim tidak mengetahui secara mendalam tentang makanan halal bagi muslim.
Apabila makanan dibeli dari kedai milik muslim, perkara kehalalan tidak menjadi isu pada adatnya. Ini kerana kesedaran muslim dalam beragama untuk menyediakan makanan yang halal. Namun makanan bukan sekadar halal tetapi hendaklah mencapai tahap toyyib sebagaimana nas al-Quran. Contohnya kebersihan, cara penyediaan makanan, tahap kesihatan pekerja dan sebagainya. Ini menjadikan makanan itu bukan sekadar halal tetapi toyyib.
Apa yang penting ialah kesedaran dan usaha muslim untuk mencari makanan yang halal lagi toyyib. Juga kesedaran dan inisiatif pengusaha makanan untuk memastikan makanan adalah halal dan toyyib. – UTUSAN
DR. MOHAMMAD NIDZAM ABDUL KADIR
Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan Fakulti Ekologi Manusia, UPM









