TAHUN 2026 menandakan satu fasa penting dalam perjalanan pendidikan negara apabila Malaysia berada di persimpangan untuk menentukan hala tuju sistem pendidikannya bagi satu dekad akan datang.
Pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2026-2035 (PPPM) bukan sekadar penstrukturan dasar mahupun penambahbaikan teknikal, tetapi usaha besar dalam membina masa depan negara menerusi pendidikan yang berakar pada nilai kemanusiaan, akidah dan akhlak, di samping menguasai teknologi masa hadapan.
Pendidikan perlu dilihat sebagai amanah besar untuk membina insan, bukan sekadar melahirkan tenaga kerja dan memenuhi keperluan pasaran ekonomi semata-mata.
Pemikir Islam seperti Syed Muhammad Naquib al-Attas menegaskan bahawa matlamat utama pendidikan ialah melahirkan “insan yang baik”, iaitu insan yang mengenal tempat dirinya sebagai hamba dan khalifah Allah di muka bumi.
Insan sebegini bukan sahaja cemerlang dari segi intelek, tetapi juga kukuh akidahnya, luhur akhlaknya dan seimbang jasmani serta rohaninya. Inilah asas pendidikan insani yang perlu dijadikan roh kepada Rancangan Pendidikan Negara 2026.
Islam mengajarkan bahawa ilmu bukan sekadar untuk diketahui, tetapi untuk diamalkan dan membentuk keperibadian. Imam al-Ghazali mengingatkan bahawa ilmu tanpa amal adalah kegilaan dan amal tanpa ilmu adalah kesesatan.
Maka, reformasi pendidikan 2026 perlu memastikan penilaian dan pentaksiran tidak mematikan fitrah belajar, sebaliknya menggalakkan pemahaman, pemikiran kritis dan penghayatan nilai.

Langkah memperkenalkan semula sistem penilaian berperingkat seperti Matriks Pembelajaran Malaysia di peringkat awal persekolahan boleh dilihat sebagai usaha untuk mengesan dan membimbing perkembangan murid lebih awal.
Namun, penilaian ini mestilah bersifat membina, bukan membebankan. Dalam Islam, pendidikan berlaku secara berperingkat dan penuh hikmah, sebagaimana wahyu al-Quran diturunkan secara tadarruj.
Prinsip ini wajar diterapkan agar murid tidak tertekan, sebaliknya dibimbing mengenal potensi diri dan memperbaiki kelemahan dengan sabar dan berterusan.
PPPM 2026 juga memberi penekanan besar kepada pendidikan awal kanak-kanak melalui pemerkasaan prasekolah.
Ini selari dengan pandangan Islam yang melihat pendidikan bermula sejak awal usia. Rasulullah SAW sendiri menekankan pembentukan akhlak dan adab sejak kecil, kerana jiwa kanak-kanak ibarat tanah yang subur, mudah menerima benih yang ditanam.
Kurikulum prasekolah yang menekankan pengurusan diri, minat membaca, pembelajaran bersepadu dan pembentukan karakter insani merupakan langkah tepat, asalkan nilai-nilai Islam seperti kejujuran, amanah, kasih sayang dan hormat kepada guru serta ibu bapa disepadukan secara berkesan.
Dalam masa yang sama, pendidikan negara tidak boleh terpisah daripada realiti perubahan dunia yang dipacu oleh teknologi, kecerdasan buatan (AI), digitalisasi dan peralihan tenaga.
Islam tidak pernah menolak kemajuan ilmu dan teknologi, malah sejarah tamadun Islam membuktikan umat Islam pernah mendahului dunia dalam pelbagai disiplin ilmu.
Namun, Islam meletakkan syarat yang jelas bahawa kemajuan mesti berpaksikan nilai. Teknologi tanpa panduan akhlak boleh membawa kepada kerosakan, penindasan dan ketidakadilan.
Oleh itu, usaha memperkenalkan bilik darjah berasaskan AI, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berteraskan teknologi dan penguasaan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) perlu disertai dengan pendidikan etika, tanggungjawab dan kesedaran ketuhanan agar teknologi menjadi alat memakmurkan manusia, bukan memusnahkan kemanusiaan.
Bahasa juga merupakan elemen penting dalam pembinaan insan dan negara. Penegasan terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu selari dengan Perlembagaan serta identiti negara.
Dalam Islam, bahasa berperanan sebagai wahana ilmu dan pembinaan tamadun. Pada masa yang sama, penguasaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua perlu diperkukuh bagi membolehkan generasi muda mengakses ilmu global dan bersaing di peringkat antarabangsa.
Pendekatan seimbang ini mencerminkan prinsip wasatiyyah dalam Islam, iaitu tidak ekstrem ke satu sisi, tetapi adil dan seimbang dalam membuat keutamaan.
Pendidikan Islam secara khusus juga perlu diperkasakan dalam Rancangan Pendidikan Negara 2026, bukan sekadar sebagai mata pelajaran, tetapi sebagai nilai yang merentas kurikulum.
Isu akhlak, adab, budaya buli, rasuah kecil yang dianggap biasa, serta kemerosotan disiplin merupakan tanda bahawa pendidikan nilai tidak boleh dipandang ringan.
Maka, usaha memerangi budaya buli, kemalasan dan kerosakan moral di sekolah bukan pilihan, tetapi kewajipan.
Sekolah perlu menjadi medan selamat untuk pembinaan sahsiah, bukan sekadar pusat akademik.
Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menekankan pembangunan insan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, dan intelek (JERI) sebenarnya sangat selari dengan pandangan Islam tentang insan kamil.
Namun, cabaran utama ialah memastikan falsafah ini benar-benar dihayati dan diterjemahkan dalam kurikulum, pedagogi dan budaya sekolah, bukan sekadar hiasan dalam dokumen rasmi.
Para pendidik sebagai murabbi memainkan peranan besar dalam menjayakan agenda ini. Dalam Islam, pendidik bukan sekadar penyampai ilmu, tetapi pembimbing jiwa dan pembentuk akhlak.
Justeru, kebajikan para pendidik, latihan berterusan dan pengurangan beban pentadbiran perlu diberi perhatian serius agar mereka mampu melaksanakan tugas mendidik dengan ikhlas dan berkesan.
Di peringkat pendidikan tinggi, reformasi yang memberi lebih fleksibiliti, laluan pembelajaran yang pelbagai serta penekanan kepada bidang strategik seperti AI, data sains dan tenaga hijau adalah langkah ke hadapan. Namun, institusi pengajian tinggi perlu kekal sebagai medan pembentukan pemikiran kritis, nilai dan jati diri.
Pengenalan mata pelajaran umum berkaitan perlembagaan dan sejarah negara adalah wajar agar mahasiswa tidak terpisah daripada akar identiti dan tanggungjawab sebagai warganegara. Islam menuntut umatnya memahami realiti masyarakat dan negara agar mampu menyumbang kepada kebaikan bersama.
Akhirnya, kejayaan PPPM 2026 tidak akan diukur melalui pelancarannya yang gah atau dokumennya yang tebal, tetapi melalui pelaksanaannya yang konsisten dan berintegriti.
Islam mengajar bahawa amanah akan dipersoalkan, dan setiap pemimpin serta pelaksana dasar akan dipertanggungjawabkan atas peranan masing-masing.
Pendidikan adalah pelaburan jangka panjang yang hasilnya mungkin tidak segera kelihatan, tetapi kesannya menentukan jatuh bangun sesebuah tamadun.
Jika PPPM 2026 benar-benar digerakkan dengan roh pendidikan insani, berpaksikan nilai dan pemikir Islam serta disokong oleh komitmen semua pihak, maka tidak mustahil Malaysia mampu melahirkan generasi yang bukan sahaja pintar dan berdaya saing, tetapi juga berakhlak, berjiwa besar dan mampu memimpin negara dengan adil dan berperikemanusiaan.
Inilah hakikat pendidikan yang sebenar, pendidikan yang membina manusia dan seterusnya membina negara. – UTUSAN
PENULIS ialah Pensyarah Kanan di Unit Pengajian Islam dan Falsafah, Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah, Universiti Utara Malaysia (UUM).










