bekal by foodpanda platform penghantaran makanan halal - Utusan Malaysia

bekal by foodpanda platform penghantaran makanan halal

Amri Mohd. Sham ketika ditemui Utusan Malaysia di ibu pejabat Foodpanda Malaysia di The Vertical Corporate Tower. Kuala Lumpur. – UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
SEIRING peredaran zaman, pengguna kini semakin bijak memilih makanan dari sumber yang halal.

Isu ini sering menjadi perbualan hangat yang sering dibincangkan sejak dahulu di negara ini bahkan menjadi penanda aras bagi umat Islam mendapatkan makanan dari restoran atau kedai yang disahkan Halal.
Oleh itu, kehadiran bekal by foodpanda dilihat bertepatan untuk meningkatkan keyakinan umat Islam tentang status Halal ketikamendapatkan makanan kegemaran mereka.

Ikuti temubual eksklusif wartawan Utusan Malaysia, Zakkina Wati Ahmad Tarmizi dan jurugambar, Syakir Radin yang menemubual Pengerusi Jawatankuasa Halal DHE Logistics Sdn. Bhd. (DHEL), Amri Mohd. Sham berkenaan bekal by foodpanda yang kini, merupakan satu-satunya platform penghantaran makanan halal foodpanda Malaysia.

UTUSAN: Boleh kongsikan me­ngenai bekal by foodpanda yang semakin dikenali ketika ini?
AMRI: bekal by foodpanda bermula dengan rungutan yang diterima daripada pengguna. Pada 2017 dan 2018 kami menerima banyak persoalan yang timbul kerana penunggang foodpanda membawa barangan makanan yang tidak halal.

Dari situ, mula timbul keraguan dari pengguna samada kedai atau restoran yang di ambil ini halal atau tidak dan mereka mula rasa was-was.

Oleh itu, kami mewujudkan satu jawatankuasa halal dalaman untuk persiapan menyediakan platform penghantaran halal yang diperakui.

Akhirnya pada Disember 2022 kita berjaya mendapat kelulusan halal termasuk menjalani beberapa proses ujian rintis (pilot test) di Putrajaya dan Alhamdulillah, pada April 2023 terjadilah pelancaran bekal by foodpanda.

Apakah matlamat bekal by foodpanda dalam menerajui perkhidmatan penghantaran makanan di Malaysia?
bekal by foodpanda telah diperakui halal di Malaysia yang hanya menghantar produk makanan daripada vendor yang diperakui halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Ini bertujuan untuk memastikan setiap barangan yang dihantar itu adalah halal dari semua segi termasuk beg, penunggang, peralatan dan latihan yang mencapai standard pematuhan halal Jakim.

Dari segi kriteria, penunggang bekal by foodpanda mestilah beragama Islam sahaja. Oleh itu, kami merupakan satu-satunya platform penghantar makanan yang diluluskan oleh Jakim.

Malah, di bekal by foodpanda, penunggang kami perlu menjalani latihan keselamatan, aspek pematuhan halal, pengendalian makanan dan kebersihan beg pembawa makanan.

Sejauh mana pensijilan halal dari Jakim ini memberi kesan kepada bekal by foodpanda?
Setiap sijil halal yang diberikan oleh Jakim tertakluk kepada audit dan pemantauan.

Setiap dua tahun Jakim akan menjalankan audit, mereka boleh membuat pemantauan secara mengejut sama ada datang ke pejabat, tempat latihan mahupun di lapangan untuk memastikan kami mematuhi piawaian.

Setakat ini, Alhamdulillah pada 2024 rekod audit pemantauan adalah ditahap baik dan kami mematuhi keperluan syarat dari pematuhan halal Jakim.

Dari segi pematuhan yang ketat ini, pejabat bekal by foodpanda dan foodpanda juga tidak sama. Kami dikehendaki mengasingkan kedua-duanya untuk memastikan tiada kontaminasi berlaku.

Sehingga kini, berapa jumlah penunggang dan vendor bekal by foodpanda di seluruh Malaysia?

Setakat ini, bekal by foodpanda mempunyai sekitar 30,000 penunggang manakala terdapat lebih kurang 7,000 vendor di seluruh Malaysia.

Kita melihat ada peningkatan penunggang dan vendor. Jadi, selepas kewujudan bekal by foodpanda kita melihat sambutannya amat memberangsangkan berbanding sebelum ini.Sekiranya dahulu kita menerima banyak keluhan namun, sekarang tidak lagi.

Sejauh mana sasaran pihak bekal by foodpanda melihat kepada pengguna domestik serta pasaran luar negara?
Dalam perniagaan, kami bukan sahaja melihat kepada pasaran domestik namun, kita juga memfokuskan keperluan pengguna dalam kalangan pelancong asing.

Bekal by foodpanda juga menerima sambutan daripada pelancong asing yang di antaranya terdiri daripada warga muslim Timur tengah yang sering mencari makanan halal. Dengan memberikan perkhidmatan kepada mereka ia sekali gus meningkatkan sektor pelancongan di Malaysia.

Dari sudut pelancong asing mereka mengetahui bahawa Jakim mempunyai standard ataupun piawaian yang tinggi yang diiktiraf dunia. Ini memberikan rasa selamat untuk mereka menggunakan bekal by foodpanda.

Sejauh mana pensijilan halal ini dapat menarik vendor makanan?
Terdapat produk makanan tempatan yang mula melihat pensijilan halal yang diperoleh bekal by foodpanda ini sebagai satu peluang untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka.

Pada waktu ini, bukan sahaja golongan muslim yang mementingkan pensijilan halal pada restoran dan kedai makan namun, golongan bukan muslim juga melihat halal ini baik dari semua segi termasuk kebersihan, cara penyediaan makanan dan keterjaminan.

Oleh itu, kami telah mewujudkan sekolah pengendalian makanan yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan. Kami juga menyediakan kursus daripada Jabatan Halal mengenai pengenalan kepada halal dan persediaan untuk mendapatkan sijil halal.

Bagaimana pula perusahaan kecil dan sederhana (PKS), ada­kah bekal by foodpanda ada membantu golongan tersebut?
Kami amat menggalakkan PKS menyertai bekal by foodpanda. Kini, proses untuk mendapatkan sijil halal adalah lebih cepat iaitu dalam tempoh satu bulan, seperti yang dinyatakan oleh pihak Jakim. Oleh itu, PKS perlu ambil langkah yang bijak untuk mengorak langkah mengembangkan perniagaan mereka.Salah satu caranya adalah untuk mendapatkan pensijilan halal. Ini boleh didapati di bekal by foodpanda.

Kita juga ada mewujudkan kelas latihan untuk mereka membiasakan diri dengan undang-undang berkaitan halal dan proses untuk mendapatkan pensijilan halal. Adalah harapan kami agar pihak kementerian, agensi, di peringkat kebangsaan dan negeri yang bertanggungjawab bagi perkembangan PKS akan dapat berkoloborasi dengan kami dalam menambah lagi bilangan PKS di Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN