BULI siber menjadi isu yang semakin membimbangkan dalam era digital ini. Kewujudan media sosial dan pelbagai platform dalam talian yang lain membuka ruang kepada penyalahgunaan internet oleh individu yang tidak bertanggungjawab.
Golongan remaja dan kanak-kanak menjadi mangsa utama. Oleh itu, peranan ibu bapa dan guru amat penting dalam memastikan isu ini dapat ditangani dengan berkesan.
Ibu bapa perlu memainkan peranan sebagai pendidik utama dalam kehidupan anak-anak. Dalam dunia yang semakin canggih dengan teknologi, ibu bapa harus sedar tentang bahaya buli siber dan mengajarkan anak-anak mereka tentang etika penggunaan internet. Mereka harus memastikan anak-anak memahami batasan dalam berinteraksi di alam maya serta mendidik golongan ini menghormati orang lain dalam setiap komunikasi mereka.
Selain itu, ibu bapa juga perlu memantau aktiviti anak-anak di media sosial. Ini bukan bermaksud mengintip atau melanggar privasi anak-anak, tetapi lebih kepada memastikan mereka tidak menjadi mangsa atau pelaku buli siber. Ibu bapa boleh berbincang secara terbuka dengan anak-anak mengenai apa yang mereka lakukan di internet, siapa yang mereka berinteraksi dan bagaimana mereka merasa ketika menggunakan media sosial. Komunikasi terbuka ini dapat membantu ibu bapa mengesan sebarang tanda awal buli siber.
Begitu juga guru yang harus peka terhadap tingkah laku pelajar di sekolah, termasuk perubahan dalam emosi dan sikap. Guru perlu mewujudkan suasana yang selamat dan menyokong di sekolah supaya pelajar yang mengalami buli siber berani untuk melaporkan kejadian tersebut.
Selain itu, guru juga boleh melaksanakan program pendidikan digital di sekolah. Program ini boleh memberi penerangan kepada pelajar tentang risiko buli siber, langkah-langkah keselamatan dalam penggunaan internet serta cara untuk melaporkan sebarang kejadian buli siber. Pendidikan ini bukan sahaja melibatkan pelajar, tetapi juga ibu bapa supaya mereka lebih peka terhadap isu yang sedang berlaku.
Ibu bapa dan guru perlu bekerjasama rapat dalam menangani isu ini. Kerjasama ini membolehkan mereka bertindak lebih cepat jika terdapat sebarang tanda buli siber. Apabila ibu bapa dan guru saling mempercayai dan bekerjasama, mereka dapat menyediakan sokongan yang lebih baik kepada anak-anak yang terjejas.
Dalam masa sama, ibu bapa dan guru juga perlu memberi sokongan emosi kepada anak-anak yang menjadi mangsa buli siber. Mereka harus memberi dorongan supaya anak-anak dapat kembali pulih daripada trauma yang dialami. Ibu bapa dan guru perlu menekankan kepada anak-anak bahawa mereka tidak bersendirian dan terdapat saluran bantuan yang boleh mereka gunakan.-UTUSAN
AFIQAH SAFWAN ANNUAR, NUR FAQIHAH UMAIRA MAZZAIDI & TASNIM NURIZZAH MOHD EZLAN
Sekolah Menengah Agama
(SMA) Al-Attas, Pekan, Pahang










