Prihatin bantu pelajar universiti kurang berkemampuan

Prihatin bantu pelajar universiti kurang berkemampuan

PASTIKAN pelajar dapat meneruskan pengajian di universiti dan membantu meringankan beban kewangan pelajar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEJAYAAN akademik pelajar bukan sahaja bergantung kepada kualiti prestasi dalam bilik kuliah, tetapi juga pada keselesaan dan kestabilan mereka di luar bilik kuliah.

Disebabkan itu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terus membantu pelajar kurang berkemampuan dengan menyediakan bilik kediaman secara percuma sepanjang tempoh pengajian.

Tajaan bilik kediaman merupakan inisiatif portfolio HEPA termasuk Pusat Hal Ehwal Pelajar, Pusat Perhubungan Alumni, Pusat Islam, Pusat Perumahan Pelajar dan Kolej Akademia dengan jumlah RM451,200.

Jumlah ini dapat menaja sebanyak 51 bilik kediaman di 10 buah kolej, dan dapat mengurangkan beban kewangan seramai 408 pelajar bagi tempoh empat tahun.

Terdapat juga inisiatif lain bagi memastikan pelajar dapat meneruskan pengajian di universiti seperti Biasiswa Sulung dan pelaksanaan Sistem e-Prihatin dalam membantu meringankan beban kewangan pelajar.

Program Pembangunan Siswa Sulung tahun ini melibatkan seramai 484 pelajar B40 berjaya menyambung pengajian mereka di peringkat ijazah sarjana muda.

Sistem e-Prihatin UKM bertujuan memastikan pangkalan data kebajikan pelajar sentiasa dikemas kini, supaya bantuan kebajikan dapat disalurkan dengan tepat kepada mereka yang memerlukan.

Melalui sistem ini, pelajar memohon pelbagai bentuk bantuan kewangan seperti bantuan yuran, sara hidup, rawatan perubatan, dan sebagainya. Ia bukan sahaja memudahkan proses permohonan bantuan, tetapi juga memastikan bantuan diberikan secara terus ke akaun pelajar dengan lebih cepat.

Permohonan bantuan melalui sistem ini dibahagikan kepada dua kategori tabung bantuan, iaitu Tabung Bantuan Kebajikan HEP dan Bantuan Zakat UKM.

Semua pelajar UKM layak memohon Tabung Bantuan Kebajikan HEP, manakala Bantuan Zakat UKM dibuka kepada pelajar serta kakitangan UKM yang tergolong sebagai asnaf muslim.

Kami yakin bahawa sistem ini akan mempercepatkan proses penyaluran bantuan kepada pelajar yang layak dan membantu mereka menghadapi cabaran kewangan sepanjang tempoh pengajian di UKM. – UTUSAN

PUSAT KOMUNIKASI KORPORAT
UKM BANGI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN