PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 menyaksikan pelbagai calon tampil menawarkan idea serta iltizam bagi memenangi hati pengundi menjelang 11 Julai ini.
Bagi calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Raja, DR. MOHAMED MALIKI MOHAMED RAPIEE, antara agenda utama yang mahu direalisasikannya ialah membangunkan sebuah pusat penjagaan warga emas uzur di kawasan itu.
Bekas Pengarah Pusat Belia Antarabangsa (IYC) itu berkata, kemudahan berkenaan penting bagi memastikan kebajikan golongan warga emas terus terpelihara, lebih-lebih lagi ketika Malaysia sedang menuju ke arah status negara tua.
Dalam wawancara bersama wartawan Utusan Malaysia, ARIF AIMAN ASROL dan dibantu jurufoto, SHIDDIEQIIN ZON, beliau berkongsi matlamat bertanding, perancangan sekiranya diberi mandat serta pandangannya mengenai hubungan antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas.
UTUSAN: Sebagai muka baharu, bagaimana perjalanan kempen setakat ini?
MOHAMED MALIKI: Ini kali pertama saya menawarkan diri sebagai wakil rakyat. Saya sedar saya masih baharu dalam Bersatu dan PN kerana hanya menyertai parti itu pada Februari lalu.
Namun, ketika bersama parti lama sebelum ini, saya juga aktif di kawasan ini. Saya menjangkakan akan ada pelbagai persepsi serta tahap penerimaan dalam kalangan masyarakat.
Bagaimanapun, sejak turun ke lapangan bermula hari penamaan calon, semuanya berjalan dengan sangat lancar. Saya dapat merasakan penerimaan masyarakat serta pimpinan PN di Sri Gading amat baik.
Malah, hubungan dengan calon dan parti lawan juga berlangsung secara harmoni. Mereka menerima saya sebagai pesaing dalam pertandingan demokrasi tanpa perlu berkempen secara keterlaluan atau bermusuhan.
Kerusi DUN Parit Raja merupakan kubu tradisi Barisan Nasional (BN) yang dimenangi sejak 1974. Penyandangnya, Nor Rashidah Ramli, menang dengan majoriti 4,219 undi. Adakah perkara itu menjadi cabaran buat calon kali pertama seperti Dr.?
Saya sedar Parit Raja sering dianggap sebagai kerusi selamat untuk UMNO dan BN. Namun, kehadiran PN di sini dibuat berdasarkan data serta penelitian yang dijalankan.
Sebagai contoh, terdapat kira-kira 38,000 pengundi di kawasan ini, termasuk lebih 3,800 pengundi baharu dan pengundi kali pertama. Saya berharap golongan muda dapat memberikan ruang kepada tawaran serta pendekatan yang dibawa PN.
Kami juga telah mengenal pasti beberapa titik penyesuaian dalam strategi kempen. Kajian menunjukkan kawasan yang mempunyai institusi pengajian tinggi lazimnya mempunyai corak pemikiran yang lebih pelbagai, dengan pertimbangan dan rasional tersendiri.
Sebab itu, penggunaan media sosial dalam kempen dipertingkatkan. Saya juga memberi perhatian kepada kumpulan yang berdaftar sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), selain kelompok tidak formal yang aktif dalam komuniti seperti pelajar universiti.
Bagaimana mendekati pengundi daripada pelbagai latar belakang?
Saya perlu menyesuaikan pendekatan. Penjawat awam dan pelajar universiti, misalnya, mahu mengetahui tawaran serta prinsip yang saya pegang.
Saya sentiasa berhati-hati dari segi penampilan, sikap dan cara berkomunikasi.
Bagi masyarakat di kampung pula, saya hadir sebagai seorang anak kampung. Saya menggunakan bahasa yang biasa digunakan oleh mereka, malah boleh bertutur dalam bahasa Jawa.
Dalam setiap pertemuan, saya tidak mendesak mereka untuk menyokong saya. Sebaliknya, saya mahu mereka menilai sendiri calon dan tawaran yang dibawa.
Apakah perkara pertama yang akan dilakukan sekiranya diberi mandat mewakili penduduk Parit Raja selepas 11 Julai ini?
Keutamaan saya ialah kebajikan penduduk supaya tiada kelompok tercicir, khususnya warga emas uzur dan orang kurang upaya (OKU).
Ada yang bertanya mengapa saya menjadikan perkara ini sebagai keutamaan kerana ia dilihat kurang produktif. Namun, masyarakat Malaysia sangat mengutamakan nilai kekeluargaan.
Apabila ibu bapa terlantar sakit, anak-anak sanggup mengorbankan kerjaya dan masa demi menjaga mereka. Jika warga emas uzur dapat dijaga dengan sempurna, pada masa sama kita dapat mengurangkan tekanan yang ditanggung golongan muda.
Sebahagian besar individu yang menjaga ibu bapa sakit terdiri daripada golongan profesional dan muda. Ada antara mereka mempunyai anak kecil serta pendapatan yang tidak begitu tinggi, namun masih perlu menanggung kos penjagaan ibu bapa.
Jika kita mempunyai pusat penjagaan yang baik, sesuai serta dikendalikan penjaga profesional, kedua-dua pihak akan mendapat manfaat. Anak-anak boleh membina kerjaya dan mengurus keluarga, manakala ibu bapa mereka pula dijaga dengan selamat serta bermaruah.
Itulah tawaran saya kepada pengundi di Parit Raja. Saya juga telah mendapat persetujuan daripada ibu untuk mewakafkan sebahagian tanah pusaka yang telah didaftarkan atas nama saya bagi tujuan tersebut.
Dr. pernah menjadi Pengarah IYC dan bekas Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM). Adakah pengalaman itu memberi kelebihan berbanding calon lain?
Ya, kerana cara saya menangani cabaran mungkin berbeza. Saya tidak mudah melatah atau melenting apabila berdepan sesuatu isu.
Saya gemar melihat sesuatu perkara daripada perspektif lebih menyeluruh, atau apa yang sering disebut sebagai pandangan helikopter. Pendekatan itu terbentuk daripada pengalaman saya sebagai pemimpin belia dan bekas penjawat awam.
Sekiranya ditanya apakah kelebihan sebagai wakil rakyat, saya bukan jenis yang tergesa-gesa membuat kesimpulan. Ada pihak yang mahu kelihatan bekerja dengan terus menyerbu sesuatu tempat dan menonjolkan kelemahan yang berlaku.
Sebagai contoh, jika terdapat barisan panjang di klinik, persepsi rakyat mungkin melihat masalah itu perlu diselesaikan segera dengan mencari pengarah atau pihak bertanggungjawab.
Namun, sebagai bekas penjawat awam, saya akan meletakkan diri dalam situasi petugas di klinik tersebut. Mungkin pada hari itu ada kakitangan yang sakit, menghadiri kursus atau berlaku kekurangan tenaga kerja.
Saya mahu menjadi fasilitator dan pengantara yang rasional. Saya tidak mahu melakukan sesuatu semata-mata untuk kelihatan baik di mata rakyat.
Pas sebelum ini mengumumkan keputusan untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu. Adakah perkara itu menjejaskan perjalanan kempen?
Saya diarahkan oleh pimpinan Bersatu untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada PRN Johor. Saya mengalu-alukan bantuan daripada semua pihak, termasuk mereka yang tidak berparti.
Sudah tentu, jika rakan-rakan dalam PN seperti Pas turut membantu, saya amat mengalu-alukannya. Secara peribadi, memang ada rakan-rakan daripada Pas di Parit Raja dan luar kawasan yang berhubung dengan saya.
Bagaimanapun, buat masa ini, jentera kempen kami digerakkan oleh Bersatu. Saya sentiasa terbuka terhadap sebarang perkembangan positif.
Saya mengikuti perkembangan semasa apabila pimpinan Pas meminta ahlinya menyokong calon BN. Itu hak dan pendirian mereka. Namun, Bersatu mempunyai kekuatan serta jenteranya sendiri dan saya yakin dengan kemampuan tersebut.
Saya tidak bergantung sepenuhnya kepada jentera Pas tetapi sekiranya ada pihak mahu membantu secara positif, lebih ramai yang turun padang sudah tentu lebih baik. –UTUSAN










