Jangan heret sekolah vernakular ke kancah politik

Jangan heret sekolah vernakular ke kancah politik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERUAN pertubuhan pendidikan aliran bahasa Cina tertentu agar parti politik dan calon yang bertanding dalam pilihan raya memberi komitmen jelas dalam melindungi sekolah vernakular, bukan sahaja keterlaluan, bahkan menjijikkan kerana mempolitikkannya.

Sehubungan ini, pertubuhan itu mahu setiap parti politik dan calonnya mengisytiharkan pendirian masing-masing dalam melindungi sekolah vernakular pada manisfestonya.

Tidak boleh dinafikan lagi seruan begini bersifat politik.

Sekolah vernakular yang kedudukannya dijamin pelembagaan tidak perlu terus dipolitikkan, lebih-lebih lagi semasa menjelangnya pilihan raya.

Tidak keterlaluan dikatakan perbuatan sebegini adalah hasutan.Ini kerana perbuatan itu seakan mahu mengapi-apikan perkara yang tidak pun menjadikan topik kontroversial pada saat ini. Bahkan isu ini mudah meletus apabila diungkit.
Dari satu segi, perbuatan menghasut ini menyentuh tiga perkara yang dilarang perbincangannya kerana menyentuh isu kaum, agama dan raja (3R).

Inilah akibat apabila pertubuhan tersebut mengamalkan politiking.

Dalam hal politiking, pertubuhan berkenaan melakukan sesuatu yang lebih daripada lazim dilakukan parti politik sebenar. Pertubuhan ini bersifat lebih sudu daripada kuah ini. Ini sekali gus menegaskan hanya parti politik dan calon yang berjaya memberi komitmen jitu dalam melindungi sekolah vernakular, layak diberikan sokongan oleh pengundi.

Penegasan ini diteruskannya lagi dengan menekankan undi yang diberikan itu adalah untuk melindungi warisan kepelbagaian di negara ini. Antaranya etnisiti dan budaya yang berbeza. Ini hanya betul dari satu segi sahaja, iaitu kependudukan negara ini yang memang sifatnya majmuk.
Namun dari segi lain, khususnya asas struktur negara ini, ia adalah bumi Melayu-Islam. Dengan ini, identiti nasional untuk negara dan identiti budaya bagi rakyat, bukanlah daripada warisan kepelbagaian. Sebaliknya daripada warisan Melayu-Islam.
Sekokah vernakular bukanlah sistem utama Justeru kewujudannya haruslah berpada-pada sahaja, iaitu tidak boleh sesekali mengatasi sekolah kebangsaan sebagai aliran arus perdana dari apa-apa jua segi.

Sebagai aliran arus perdana, sekolah kebangsaan adalah norma sosial, budaya dan politik di negara ini, sekali gus selari dengan kecenderungan dominan, yakni rata-ratanya adalah tarikan utama masyarakat, selain merupakan norma standard untuk ibu bapa menyekolahkan anak mereka.

Pun begitu, tidak dapat dinafikan ramai ibu bapa bukan Melayu mengelaknya dengan tidak mahu menghantar anak mereka ke sekolah rendah kebangsaan. Pelbagai alasan dikemukakan, antaranya sekolah kebangsaan tiada mutu di samping sarat masalah disiplin murid.

Berbalik kepada perbuatan menghasut oleh pertubuhan itu, topik ini hanya sengaja mahu diangkat sebagai agenda khusus untuk kepentingan pertubuhan itu sahaja.

Dalam pada itu, politiking yang dilakukannya memang bertujuan untuk mencapai matlamat politik tertentu, antaranya termasuklah agar pendidikan vernakular mendapat tempat yang lebih tinggi daripada apa-apa jua kedudukannya pada masa ini.

Ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk mewujudkan perbahasan politik tentang sekolah vernakular yang pasti akan ikut dikaitkan dengan isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Dalam isu sijil UEC, walaupun kerajaan telah memberikan semacam pengiktirafan tidak lama dahulu, namun pertubuhan itu masih lagi mengemukakan tuntutan agar pengiktirafan tersebut diperluaskan, iaitu melangkaui skop yang diberikan pada masa ini.

Dengan ini, jelaslah pertubuhan itu mahu mengheret topik sekolah vernakular sehingga menyentuh isu pengiktirafan sijil UEC. Tujuannya bukan sahaja untuk membangkitkan semula polemik tersebut, malah menjadikannya sebagai isu yang dapat memberikan keuntungan kepada pertubuhan itu, khususnya dengan memanfaatkan pertelagahan yang tercetus demi kepentingannya sendiri.

Untuk pengetahuan, kemudahan dan keistimewaan yang dinikmati oleh sekolah vernakular di negara ini sememangnya lebih daripada mencukupi. Etnik Cina yang menetap di luar tanah besar China tidak menikmati konsesi seperti yang diberikan di bumi Melayu-Islam ini.

Malah, konsesi yang diberikan bukan sahaja banyak, malah amat besar dan bersifat murah hati. Antaranya ialah pemberian kewarganegaraan kepada etnik bukan Melayu oleh etnik Melayu sebagai tuan rumah melalui syarat yang amat longgar.

Bahkan etnik bukan Melayu yang memilih untuk terus tinggal di bumi Melayu-Islam ini, tidak pun dikenakan kaedah asimilasi dalam hal penyatuan nasional. Sebaliknya, hanya berupa integrasi, iaitu bergabung sahaja dengan etnik Melayu sebagai penduduk asal, tanpa melepaskan identiti etnik asal Cina dan India.

Berdasarkan integrasi inilah, kerajaan membenarkan kewujudan sekolah vernakular. Pada masa ini, terdapat kira-kira 1,300 Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang menerima bantuan penuh atau separa daripada kerajaan serta menawarkan pendidikan sepenuhnya dalam aliran bahasa Cina.

Bagi peringkat menengah pula, terdapat sekitar 80 Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SJMC) yang masih mengekalkan persekitaran pendidikan berteraskan bahasa Cina, walaupun tidak lagi menggunakan bahasa tersebut sepenuhnya sebagai bahasa pengantar. Namun begitu, bahasa Cina kekal sebagai mata pelajaran wajib di sekolah-sekolah ini.

Bagi etnik Cina yang ingin meneruskan pembelajaran sepenuhnya dalam aliran bahasa Cina di negara ini, terdapat sekitar 63 Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) yang menawarkan sijil UEC. Sebahagian daripada sekolah ini turut menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar sampingan.

Bagi pendidikan tinggi dalam bahasa Cina pula, sekurang-kurangnya terdapat tiga institusi pengajian tinggi (IPT) swasta pada masa ini. Jumlah tersebut juga dijangka terus bertambah pada masa hadapan.

Dengan konsesi seperti ini, pendidikan vernakular Cina sebenarnya bukan sahaja sudah memperoleh pelbagai kemudahan, malah mempunyai prospek yang cerah di negara ini. Oleh itu, tidak timbul keperluan untuk mengemukakan tuntutan tambahan, apatah lagi melalui desakan yang keras dan agresif. Lebih-lebih lagi jika usaha memperluaskannya dilakukan dengan cara yang disifatkan tidak selaras dengan kepentingan nasional, malah dalam keadaan tertentu boleh dianggap antinasional.

Lazimnya, ahli politik sering menggunakan isu etnisiti sebagai strategi untuk meraih kelebihan politik. Namun, dalam keadaan ini, sebuah pertubuhan yang memperjuangkan pendidikan pula didakwa melakukan pendekatan yang sama.

Sebagaimana ahli politik sering dikritik kerana mempolitikkan sesuatu isu demi kepentingan tertentu, pertubuhan tersebut juga wajar menerima kritikan jika menggunakan pendekatan yang serupa.

Hal ini kerana tindakan memanipulasi keadaan yang tenang demi kepentingan sendiri merupakan perkara yang serius. Jika dibiarkan, perbuatan sedemikian berpotensi menjejaskan keharmonian serta kestabilan sistem pendidikan negara. -UTUSAN

 

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN