Manifesto PH lebih jelas, meyakinkan

Manifesto PH lebih jelas, meyakinkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANIFESTO Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor wajar dipuji kerana kelihatan seperti dokumen tawaran dasar yang tersusun dan bukan sekadar senarai janji pilihan raya.

Dengan tema ‘Johor Untuk Semua’, PH menawarkan hala tuju baharu dengan membina negeri yang mempunyai kekuatan ekonomi, menyediakan pekerjaan berpendapatan tinggi, memperluas perumahan mampu milik, memperkukuh kebajikan rakyat dan menjadikan pembangunan lebih seimbang antara daerah.

Manifesto ini mempunyai 10 tawaran utama dan lima Inisiatif Pencetus Perubahan Johor. Antara tawaran utamanya ialah Skim Kesihatan Johor sehingga RM100,000 setahun, bantuan rumah pertama RM8,000, Dana Anak Muda Johor RM500 juta, pembinaan 80,000 rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun, internet berkelajuan tinggi dan makmal kecerdasan buatan (AI) untuk sekolah, Dana Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan Usahawan Johor RM1 bilion, pemerkasaan agro makanan, industri bernilai tinggi, pengurangan masa menunggu rentas sempadan sebanyak 50 peratus serta sasaran 250,000 pekerjaan berpendapatan tinggi dan bermaruah.

Kekuatan utama manifesto PH ialah sifatnya yang berangka dan boleh dinilai. Pengundi tidak hanya diberikan slogan umum seperti ‘kemajuan’, ‘kebajikan’ atau ‘kestabilan’ tetapi sasaran yang jelas. Ini penting kerana manifesto yang baik mesti membolehkan rakyat menilai pencapaian kerajaan selepas pilihan raya.

Dari sudut ini, manifesto PH kelihatan lebih serius kerana meletakkan ukuran kejayaan secara terbuka. Apabila angka dan sasaran dinyatakan, membolehkan kerajaan yang menang nanti dipantau. Ini juga menunjukkan PH bersedia dinilai berdasarkan hasil.

Berbanding Barisan Nasional (BN), perbezaan utamanya terletak pada pendekatan. BN menampilkan manifesto berteraskan kesinambungan pentadbiran melalui enam teras Maju Johor, dengan penekanan kepada tadbir urus, pembangunan ekonomi, jaringan keselamatan sosial, kemudahan asas, keselamatan, kebersihan dan kelestarian alam sekitar. Antara tawarannya ialah Bantuan Kasih Johor, peluang pekerjaan, dana rumah, bantuan sewa, pembiayaan mikro tanpa faedah, Dana Pendidikan Orang Muda Johor dan pelbagai inisiatif kemudahan awam.

Manifesto BN mempunyai kekuatan dari segi kesinambungan program sedia ada. Namun begitu, manifesto PH lebih menonjol dari sudut pembaharuan dasar dan sasaran transformasi ekonomi. Jika BN menawarkan kesinambungan pentadbiran, sementara PH pula menawarkan pembaharuan lebih terarah isu struktur negeri.

Dalam isu pekerjaan misalnya, BN menawarkan 200,000 peluang pekerjaan termasuk 100,000 pekerjaan berpendapatan premium. PH pula menawarkan 250,000 pekerjaan bergaji tinggi dan bermaruah melalui Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), AI, ekonomi digital, logistik pintar, teknologi hijau dan industri bernilai tinggi. Tawaran PH lebih berkait langsung dengan perubahan struktur ekonomi Johor kerana ia bukan sekadar menambah pekerjaan, tetapi cuba mengubah jenis pekerjaan yang ditawarkan kepada rakyat.

Dalam isu perumahan pula, BN memberi tumpuan kepada dana rumah dan kesinambungan bantuan perumahan. PH pula meletakkan sasaran 80,000 rumah mampu milik dalam lima tahun serta bantuan RM8,000 untuk pembelian rumah pertama. Sasaran ini besar tetapi tidak wajar terus dianggap tidak realistik. Jika dilaksanakan secara berfasa, digabungkan dengan tanah kerajaan negeri, kerjasama pemaju, skim sewa milik, kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang lebih cekap dan sokongan pembiayaan, maka sasaran ini boleh menjadi agenda perumahan yang praktikal.

Dari sudut dasar ekonomi, tawaran PH juga lebih jelas mengaitkan pembangunan Johor dengan kedudukan strategik negeri itu. PH mahu Johor menjadi kuasa ekonomi sendiri, bukan sekadar ‘sokongan’ kepada Singapura. PH mengaitkan potensi Johor dengan JS-SEZ, Rapid Transit System Link (RTS Link), Forest City, pelabuhan baharu dan pelaburan bernilai tinggi.

Pendekatan ini penting kerana isu Johor bukan sekadar kekurangan pekerjaan malah pekerjaan bergaji setimpal yang mampu mengekalkan bakat tempatan di negeri sendiri.

Di sinilah realistik manifesto PH lebih jelas. Banyak tawaran PH tidak berdiri secara terasing, sebaliknya berkait dengan projek dan struktur ekonomi yang memang sedang berkembang di Johor.

JS-SEZ, RTS Link, hubungan ekonomi Johor-Singapura, kekuatan pelabuhan, sektor pembuatan, logistik, pelancongan, agromakanan dan ekonomi digital menyediakan asas yang munasabah untuk menjayakan tawaran pekerjaan, pelaburan dan peningkatan pendapatan.

Sekiranya PH menang di Johor, usaha melaksanakan janji-janji ini juga akan menjadi lebih mudah kerana banyak tawaran memerlukan penyelarasan rapat antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Isu seperti kesesakan sempadan, imigresen, RTS, pengangkutan awam, pelaburan strategik, Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), digitalisasi sekolah, kesihatan dan pembangunan industri bernilai tinggi tidak boleh diselesaikan kerajaan negeri secara bersendirian. Ia memerlukan hubungan kerja yang kuat dengan kementerian dan agensi Persekutuan.

Dengan mandat kerajaan negeri, PH boleh menyelaraskan dasar tanah, perumahan, PBT, pelesenan, pembangunan daerah, infrastruktur tempatan dan program kebajikan negeri.

Pada masa sama, kedudukan PH yang bergerak seiring dengan Kerajaan Persekutuan boleh mempercepatkan rundingan, kelulusan, pembiayaan bersama dan pelaksanaan projek rentas agensi. Ini memberi kelebihan praktikal kepada manifesto PH berbanding tawaran yang hanya bergantung kepada kapasiti negeri semata-mata.

Sebagai contoh, sasaran mengurangkan masa menunggu rentas sempadan sebanyak 50 peratus sangat relevan kepada rakyat Johor, khususnya pekerja yang berulang-alik ke Singapura. Pelaksanaannya memerlukan penyelarasan antara kerajaan negeri, agensi Persekutuan, pihak imigresen, pengangkutan awam, RTS, sistem bas pengantara dan teknologi semakan sempadan. Jika kerajaan negeri mempunyai hubungan kerja yang baik dengan Kerajaan Persekutuan, proses ini lebih mudah digerakkan secara tersusun.

Begitu juga dengan Skim Kesihatan Johor sehingga RM100,000 setahun. Tawaran ini boleh dilaksanakan secara berfasa melalui pendekatan bersasar. Ia boleh bermula dengan kelompok B40, M40 tertentu, orang kurang upaya (OKU) dan golongan rentan sebelum diperluas mengikut kapasiti kewangan negeri. Modelnya juga boleh digabungkan dengan panel klinik, subsidi rawatan, perlindungan insurans mikro atau kerjasama dengan penyedia perkhidmatan kesihatan. Dengan reka bentuk yang baik, tawaran ini boleh menjadi pelengkap kepada sistem kesihatan awam.

Dana Anak Muda Johor RM500 juta pula mempunyai asas pelaksanaan yang munasabah jika tidak dilihat semata-mata sebagai pemberian tunai. Manifesto PH mengaitkannya dengan TVET Premium Johor, latihan AI, robotik dan digital, Dana Usahawan Muda Johor, Program Jaminan Pekerjaan Pertama, tuisyen percuma untuk calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) daripada keluarga B40 serta program penguasaan bahasa Inggeris dan kemahiran digital. Ini menjadikan dana tersebut lebih bersifat pelaburan modal insan, bukan perbelanjaan jangka pendek.

Dana PKS dan Usahawan Johor RM1 bilion juga boleh dilaksanakan melalui gabungan dana negeri, institusi kewangan, geran padanan, pinjaman mudah, pendigitalan perniagaan dan program eksport.

Tawaran ini penting kerana PKS merupakan nadi ekonomi tempatan. Jika 20,000 perniagaan dapat didigitalkan dan 10,000 usahawan baharu diwujudkan, kesannya bukan sahaja kepada pendapatan peniaga tetapi juga kepada pekerjaan, rantaian bekalan dan hasil ekonomi negeri.

Lima Inisiatif Pencetus Perubahan Johor pula menunjukkan PH tidak hanya bercakap tentang projek besar tetapi juga isu harian rakyat. Cadangan 250 Taska Madani dan taska tempat kerja boleh membantu wanita kembali ke pasaran kerja. Pas pengangkutan awam RM50 sebulan untuk pelajar, warga emas dan OKU boleh mengurangkan kos mobiliti. Program Balik Johor boleh menarik pulang bakat tempatan. Tribunal Hak Tanah Johor boleh mempercepat penyelesaian isu tanah.

Bonus RM1,000 kepada bayi yang lahir di Johor pula memberi isyarat dasar keluarga dan pembangunan generasi baharu turut diberi perhatian.

Manifesto ini dijangka akan mampu membantu PH menarik sokongan beberapa kelompok penting. Pengundi muda boleh melihat tawaran pekerjaan, latihan AI, TVET dan Dana Anak Muda sebagai peluang masa hadapan. Keluarga muda boleh tertarik dengan bantuan rumah pertama, rumah mampu milik, taska dan perlindungan kesihatan. Pengundi bandar dan separa bandar pula pastinya akan melihat tawaran berkaitan pengangkutan, kesesakan sempadan dan kos hidup sebagai isu yang dekat dengan kehidupan harian mereka.

Manifesto ini juga boleh menarik pengundi atas pagar kerana tidak hanya bergantung kepada sentimen politik tetapi menawarkan dasar yang boleh dibandingkan. Pengundi yang menilai berdasarkan kandungan akan melihat PH menawarkan sasaran yang jelas, bidang keutamaan yang relevan dan hubungan logik antara ekonomi, pekerjaan, perumahan, pendidikan dan kebajikan.

Jika PH diberi mandat mentadbir Johor, peluang untuk melaksanakan manifesto menjadi lebih baik kerana kerajaan negeri boleh bergerak seiring dengan Kerajaan Persekutuan. Oleh itu, manifesto PH boleh menjadi pelan kerja awal untuk membawa Johor ke arah ekonomi lebih kukuh, kebajikan menyeluruh dan masa hadapan yang lebih terjamin kepada rakyatnya. –UTUSAN

PROFESOR Madya Dr. Mashitah Mohd. Udin ialah Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN) di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN