SELARAS dengan usaha memperkukuh hubungan antara masyarakat berbilang kaum, Kelab Seni Budaya Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama SJKC Kampung Baru Semenyih menyertai pertandingan Sincerely Setia Youth Synergy Programme anjuran Yayasan SP Setia baru-baru ini.
10 orang murid yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India telah mewakili SJKC Kampung Baru Semenyih manakala seramai tujuh pelajar USIM mewakili Kelab Penerbitan Kreatif, Kelab Pengurusan Persembahan Seni dan Kelab Multimedia dan Keusahawanan Seni terlibat sebagai pembimbing sepanjang tempoh dua minggu sesi latihan diadakan dan minggu akhir pertandingan persembahan melibatkan enam ke tujuh kumpulan terdiri daripada enam universiti awam.
Program rintis ini mengangkat tema Manifestasi Perpaduan Melalui Kesenian, integrasi pelbagai disiplin seni seperti nyanyian, lakonan dan puisi digabungkan dalam satu persembahan. Persembahan ini digabungjalin bertujuan mengatasi perbezaan, menghapuskan prasangka demi mencapai keharmonian dan kesepakatan dalam kepelbagaian budaya. Sketsa “Nak Jadi Apa?” yang disajikan mengangkat elemen kebersamaan dan semangat sayang kepada negara sekali gus memberi inspirasi untuk mengejar cita-cita dan berbakti kepada negara.
Penganjuran program seperti ini merupakan satu pendekatan yang baik dalam usaha melibatkan pelbagai kelompok komuniti bagi membina kesatuan dan keharmonian sesama rakyat Malaysia berbilang kaum dan budaya.
Berhadapan dengan kanak-kanak yang berbeza umur, agama dan kaum merupakan satu cabaran yang hebat. Namun, nilai toleransi dan hormat-menghormati yang diterapkan sepanjang sesi latihan mampu merapatkan jurang perbezaan.
Program ini tidak hanya mampu meningkatkan kemahiran berbahasa Melayu, malah ia mampu membentuk karakter dan kemahiran sosial murid, selain mencungkil bakat terpendam yang mungkin tidak mereka sedari sebelum ini.
Program ini merupakan sebagai satu inisiatif yang baik bagi mengembangkan bakat belia dalam bidang seni budaya disamping memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum. – UTUSAN
SITI HAWA SYAFARI ISHAK
Kelab penerbitan kreatif
Pusat Kebudayaan USIM










