SELAKU Calon Ketua DAPSY Kebangsaaan, saya menjadikan slogan “Kekalkan Perjuangan Parti, Martabatkan Generasi Muda” sebagai tema kempen pemilihan parti dan menzahirkan empat dasar utama sebagai panduan.
Mansuhkan AUKU
Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dan Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555) telah lama mengehadkan autonomi universiti serta kebebasan akademik sejak kewujudannya.
Sebagai bekas pemimpin mahasiswa, saya tegas menyeru untuk memansuhkan sepenuhnya AUKU dan akta yang berkaitan serta menggantikannya dengan sebuah akta pendidikan tinggi baharu yang memenuhi keperluan dan kehendak era terkini demi mewujudkan syarat untuk menyuburkan demokrasi kampus dan mempertahankan kebebasan akademik.
Saya berkomited untuk menubuhkan satu pasukan kerja yang melibatkan semua pihak berkepentingan, dengan mengambil iktibar daripada pengalaman lalu untuk mengusahakan penggubalan serta pelaksanaan undang-undang baharu demi menjadikan universiti sebagai platform terbaik untuk menjanakan pemikiran inovasi.
Sistem kemasukan universiti awam
Kini, sistem kemasukan ke universiti awam secara amnya merangkumi program Matrikulasi dan Tingkatan Enam yang mendatangkan ketidaksamarataan dalam pengagihan sumber serta menatijahkan ketidakadilan peluang pendidikan.
Sehubungan itu, sistem kemasukan universiti awam seyogia disatukan dan diselaraskan untuk memastikan semua pelajar yang berkelayakan dapat diberikan peluang pendidikan tinggi yang sama rata.
Saya yakin bahawa penyatuan sistem kemasukan universiti awam bukan sahaja merupakan kunci untuk meningkatkan taraf pendidikan dan memaksimumkan pengagihan sumber, tetapi juga akan membawa peningkatan yang ketara kepada daya saing negara.
Program Pendidikan Politik Parti
DAPSY mempunyai tanggungjawab untuk membantu parti dalam meningkatkan pendidikan politik khususnya dalam kalangan ahli-ahli yang baru sahaja menyertai parti.
Saya akan mengambil prakarsa dalam melancarkan Program Pendidikan Politik DAPSY dengan menawarkan kursus sistematik yang membolehkan ahli memahami nilai teras dan deklarasi parti dengan lebih mendalam, serta meningkatkan kemampuan masing-masing tidak kira dalam komunikasi lumrah mahupun perdebatan antara satu sama lain.
Saya beriltizam untuk memastikan ahli-ahli muda dilengkapi dengan pengetahuan politik yang diperlukan melalui penglibatan mereka dalam aktiviti-aktiviti seperti diskusi dalam talian, kem pendidikan politik dan sesi perbincangan dasar agar kesemua mereka dapat menjadi kekuatan parti.
Menarik kemasukan bakat muda
Sejak menjadi sebahagian daripada parti pemerintah, tanggapan bahawa “menyertai DAP adalah untuk mendapatkan jawatan semata-mata” telah sedikit sebanyak mempengaruhi daya tarikan DAP dalam kalangan golongan muda yang bersifat idealis.
Bagi membentuk semula imej DAP, saya akan melancarkan Program Pembangunan Bakat Muda yang menekankan nilai-nilai teras parti agar golongan muda yang sehaluan dan bersetuju dengan perjuangan asal parti akan menyertai parti dalam pada itu.
Satu pasukan DAPSY yang dipenuhi oleh pemimpin muda yang mempunyai nilai idealisme dan berkemampuan untuk melaksanakan nilai-nilai perjuangan parti adalah penting untuk terus menjamin masa depan DAP.
Intiha, saya menyeru semua ahli DAPSY terus berpegang teguh kepada prinsip perjuangan parti dan hadir pada Kongres Kebangsaan DAPSY yang akan diadakan pada 17 November 2024.
Besar harapan untuk kita terus menjadikan DAPSY sebagai sebuah entiti politik yang mempunyai idealisme, dan daya juang untuk terus merealisasikan impian Malaysia. – UTUSAN
WOO KAH LEONG
Calon Ketua DAPSY Kebangsaan










