BEBERAPA tahun dulu, jika melalui jalan ke Kota Bharu, Kelantan dari Kuala Lumpur melalui Bentong dan Raub, akan ternampak banyak gerai menjual buahan tempatan. Yang paling popular ialah buah nangka madu.
Sejak sebahagian laluan Lingkaran Tengah Utama (LTU) dibuka, pengguna jalan raya lama JKR (C8) lebih banyak menggunakan LTU terutama untuk ke Lipis, Kota Bharu. Lantaran itu jika pengguna ingin membeli buahan tempatan berkenaan, perlulah melalui Jalan JKR (C8).
Pada masa yang sama peniaga di gerai berkenaan mula mengalihkan gerai ke lokasi yang lebih hampir ke bandar Raub kerana terdapat Simpang keluar dari LTU, berhampiran dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Raub.
Baru-baru ini saya melalui jalan ini untuk ke Raub, didapati peniaga buah nangka madu semakin berkurangan, mungkin disebabkan kekurangan bekalan pada waktu ini. Dan apabila melepasi sempadan antara daerah Bentong/Raub tidak ada lagi gerai-gerai tepi jalan disebabkan kesalahan undang-undang.
Saya berpendapat wajar kiranya pihak berkuasa tempatan menyediakan kawasan khas yang lebih sesuai khusus untuk peniaga buah nangka dan lain-lain sepertimana adanya tempat khas peniaga durian Musang King di Raub.
Peniaga dan pengusaha kecil buah-buahan tempatan perlu juga disediakan tempat yang sesuai untuk memasarkan buah-buahan supaya mereka tidak hanya bergantung kepada pasar tani dan pasar minggu sahaja.
Sekiranya ada cadangan untuk pembinaan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) di laluan LTU, maka lebih baik sediakan gerai khas buah-buahan di sana.-UTUSAN
TEROPONG DO RE ME
Setapak, Kuala Lumpur










