Bersediakah kita menghadapi peperangan?

Bersediakah kita menghadapi peperangan?

KITA mesti bersiap siaga daripada sekarang untuk menghadapi sebarang kemungkinan. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERGOLAKAN di Asia Barat semakin hari semakin meruncing. Walaupun kawasan terlibat dalam peperangan agak jauh dari Malaysia, namun kita dapat merasai kesan sampingan peperangan, terutamanya dari segi ekonomi.

Katalah peperangan merebak hingga ke negara kita, adakah kita bersedia untuk menghadapinya? Mungkin bukan negara di Asia Barat yang akan datang menyerang tetapi negara yang menuntut hak wilayah tertentu yang akan menyerang kita. Ingat lagi peristiwa Ganyang Malaysia dahulu? Sesiapa pun tidak menyangka kita akan diserang.

Dengan jumlah 171 aset ketenteraan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berusia melebihi 30 tahun, adakah kita mampu mempertahankan negara jika diserang?

Dalam Belanjawan 2025 yang dibentangkan baru-baru ini, Kementerian Pertahanan diberikan peruntukan bernilai RM21.13 bilion. Di atas kertas memang nampak satu jumlah yang banyak tetapi mungkin tidak memadai memandangkan harga sesebuah jentera peperangan agak mahal. Itu belum lagi masuk kos penyelenggaraan. Oleh sebab itu, ada pihak mencadangkan agar kerajaan sewa sahaja helikopter kerana ia lebih menjimatkan.

Sebagai analogi, lebih murah untuk kita sewa daripada beli rumah. Namun, jika suatu hari nanti, tuan rumah ingin menduduki atau menjual rumahnya dan meminta supaya kita keluar daripada rumah tersebut dengan segera, ke mana kita hendak pergi dan bolehkah kita dapat rumah sewa lain dengan kadar segera pada harga sewa yang sama?

Andai kata berlaku peperangan, jika syarikat yang menyewakan aset ketenteraan kepada kita mahukan aset tersebut dipulangkan segera atas alasan apa sekalipun, misalnya mereka berpihak kepada musuh yang menyerang kita, bagaimana kita mahu mempertahankan negara daripada diserang? Diharap kapal selam Scorpene dan Kapal Tempur Pesisir (LCS) dapat mempertahankan perairan negara dengan cemerlang.

Jika negara kita diserang, di manakah rakyat hendak berlindung? Ada negara membina tempat perlindungan bawah tanah yang dinamakan bunker sebagai tempat perlindungan jika diserang terutamanya secara pengeboman. Bunker di padang golf bukanlah tempat sesuai untuk berlindung jika dibom. Sesetengah bangunan mempunyai ruang letak kenderaan bawah tanah. Mungkin di situ juga boleh dijadikan tempat perlindungan.

Persoalannya, adakah ia selamat? Sedangkan ketika berlaku gempa bumi di Pulau Sumatera pun beberapa bangunan di Semenanjung Malaysia dapat merasai gegarannya dan bergoyang. Jika berlaku banjir kilat, ruang letak kenderaan bawah tanah akan dimasuki air. Jadi, di mana harus kita berlindung?

Kita mesti bersiap siaga daripada sekarang untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Sekarang ini, masih ada lagikah pihak pengurusan bangunan melakukan latihan kebakaran? Saya cadangkan kita lakukan juga latihan pengeboman sebagai persediaan, terutamanya bagi bangunan melebihi lima tingkat dan sekolah. Kita juga perlu ada stok simpanan makanan yang dapat bertahan lama dan tidak cepat rosak. Perlu ada makanan alternatif selain beras sebagai makanan ruji.

Pastikan setiap sumber air adalah bersih, selamat untuk diminum dan tiada pencemaran. Kerajaan perlu memastikan agar bekalan ubat-ubatan dan peralatan perubatan di hospital, klinik kesihatan dan farmasi mencukupi. Latih sukarelawan sebagai pembantu perubatan daripada sekarang.

Kita bukanlah gajah yang gagah untuk beradu kekuatan dan kita bukanlah semut yang rela dipijak-pijak. Hendak ucok dilawan damai, hendak perang digiling peluru.-UTUSAN

MARISSA QT
Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN