PERATURAN-Peraturan Imigresen 1963 membenarkan suatu pas sempadan dikeluarkan bagi membenarkan kemasukan bukan warganegara ke negara ini bagi tujuan-tujuan yang dibenarkan kedua-dua negara. Lazimnya pas ini digunakan rakyat Malaysia yang tinggal di sempadan keluar masuk.
Namun begitu, masalah sebenar bukanlah dokumen perjalanan atau pas masuk, tetapi laluan masuk yang menyukarkan mereka yang perlu berulang-alik setiap hari. Hampir semua pintu sempadan Malaysia-Thailand mengalami kesesakan untuk keluar dan masuk. Secara puratanya, sekitar satu hingga dua jam diperlukan untuk melalui proses imigresen di kedua-dua negara setiap kali keluar masuk.
Bagi menyelesaikan isu ini, peraturan masuk perlu dipermudahkan sama ada menggunakan laluan khas, memperbanyakkan laluan masuk termasuk membenarkan perkhidmatan bot di pangkalan sekitar sempadan. Laluan masuk juga perlu diperluaskan dengan menyediakan pos-pos khas di laluan sungai sedia ada dengan pemantauan dan rekod masuk oleh imigresen kedua-dua negara.
Suatu ketika dahulu, pihak berkuasa Thailand pernah mengeluarkan surat khas kepada pengunjung negara itu yang masuk melalui perahu di pangkalan haram yang menjadi kelaziman digunakan oleh orang awam yang keluar masuk. Saya tidak pasti bagaimana ia berfungsi, namun kaedah sedemikian lebih baik untuk mengawal kemasukan yang ada rekod dan dipantau, berbanding daripada terus membiarkan pangkalan haram beroperasi dengan kebebasan secara total.
Kerjasama dengan imigresen kedua-dua negara perlu bagi tujuan memudahkan pengurusan suatu pas masuk yang lebih fleksibel. Ini bagi memastikan pas sebegini tidak disalah guna untuk tujuan penyeludupan ataupun memberi risiko terhadap kegiatan jenayah.
Saya percaya kemudahan sebegini boleh diberikan atas kerjasama kedua-dua negara sebagaimana yang dicapai dalam perjanjian merentasi sempadan Malaysia-Thailand. – UTUSAN
NIK SAIFUL ADLI BURHAN
Pengamal undang-undang dan
penasihat undang-undang Pertubuhan Mesra
Pengguna Malaysia (PMPM)










