Apa status Program Pemeteran Tenaga Bersih (NEM3.0)?

Apa status Program Pemeteran Tenaga Bersih (NEM3.0)?

MATLAMAT kerajaan memperkenalkan Program Pemeteran Tenaga Bersih 3.0 (NEM3.0) untuk peralihan tenaga kepada tenaga hijau selain penjimatan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGI mereka yang terlibat dengan industri solar akan menyedari Program Pemeteran Tenaga Bersih 3.0 (NEM3.0) memainkan peranan dalam menggalakkan rakyat sama ada pengguna domestik, industri mahupun agensi kerajaan beralih kepada tenaga bersih iaitu solar.

Program NEM ini terbahagi kepada tiga bahagian iaitu NEM Rakyat adalah program untuk pengguna domestik atau kediaman, NEM Nova untuk komersial atau industri dan NEM Gomen untuk agensi kerajaan.

Matlamat kerajaan memperkenalkan NEM selain untuk peralihan tenaga kepada tenaga hijau, ia juga untuk penjimatan.

Melalui NEM, tenaga elektrik yang dihasilkan melalui panel solar yang dipasang di bumbung akan disalurkan ke grid TNB. Apabila pengguna menggunakan elektrik sama ada untuk kegunaan domestik atau industri, jumlah tenaga dari grid TNB yang diguna akan ditolak dengan jumlah tenaga yang dijana daripada panel soleh mereka. Daripada itu akan dapat jumlah tenaga bersih yang perlu dibayar kepada TNB. Selalunya menjimatkan.

Daripada testimoni mereka yang sudah memasang panel solar di bawah program NEM ternyata menjimatkan mencecah 90 peratus.

Yang menjadi isu sekarang ialah, walaupun dalam Belanjawan 2025, kerajaan menyatakan program ini akan dilanjutkan hingga pertengahan tahun depan, tetapi pengguna domestik tidak boleh melanggan lagi kerana kuotanya sudah habis.

Kuota untuk NEM Rakyat sudah habis kira-kira sebulan lalu, selepas penambahan dilakukan sekitar September lalu. Lalu kerajaan mengumumkan kuota tambahan sebanyak 50 megawatt (MW).

Kuota yang masih berbaki ialah NEM Nova, iaitu untuk industri. Itu pun sudah tidak banyak sekitar 33 MW sahaja dan NEM Gomen untuk agensi-agensi kerajaan masih berbaki kira-kira 34MW.

Sehingga kini tiada sebarang respon daripada kerajaan sama ada kuota itu akan ditambah atau tidak. Jika tidak ditambah maka orang ramai yang berminat untuk beralih kepada tenaga boleh baharu berasaskan solar terpaksa beralih kepada alternatif lebih mahal iaitu bateri untuk simpan tenaga. Ini sudah tentu membebankan.

NEM Rakyat amat membantu dalam menggalakkan rakyat beralih kepada tenaga bersih kerana kos pemasangan panel solar tidak terlalu membebankan dan penggunakan boleh menyerap kos pemasangan melalui penjimatan tenaga elektrik setiap bulan.

Sehubungan itu kerajaan Suruhanjaya Tenaga (ST) perlu membuat ketetapan segera berhubung status NEM Rakyat supaya orang ramai dan pihak industri tidak tertanya-tanya.-UTUSAN

PEMINAT SOLAR
Dengkil, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN